Nasional

Syarikat telekomunikasi disaran mulakan SWN 5G untuk pengalaman pengguna!

Pada penghujung 2024, Kerajaan berpendapat sebanyak 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk pasti mampu dilaksanakan.

Hal ini demikian kerana setelah hampir setahun pembangunan rangkaian borong tunggal (SWN) dijalankan oleh Digital Nasional Berhad (DNB), pelaksanaannya menunjukkan hasil yang positif.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, sehingga penghujung Ogos 2022, lebih 2,100 tapak 5G telah beroperasi.

“Liputan 5G telah mencecah 33 peratus liputan di kawasan berpenduduk di lapan buah negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Dijangkakan sasaran 36 peratus liputan pada penghujung 2022 akan dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan mengulas perkembangan pelaksanaan 5G yang kekal pada landasannya.

Dalam menangani cabaran-cabaran pelaksanaan, K-KOMM melalui MCMC dan DNB telah secara aktif mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa Negeri, kerajaan tempatan dan pemegang taruh.

Hasilnya, beberapa isu dasar telah dapat ditangani segera dan pelaksanaan rangkaian telah dapat dipermudahkan atas persetujuan bersama.

Sementara itu, hal penyertaan dalam tawaran ekuiti DNB kini berada di peringkat akhir yang melibatkan empat syarikat pemberi perkhidmatan.

“Antara syarikat pemberi perkhidmatan tersebut adalah Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad dan YTL Communications Sdn Bhd.

“Pincangan bersama keempat-empat syarikat telah berjalan dengan lancar, dan adalah diharapkan perjanjian akses akan dapat dimuktamad dan ditandatangani menjelang 30 September 2022,” katanya.

Bagi memudahkan proses penyertaan ekuiti dalam DNB, K-KOMM bersama MCMC akan mengemaskini beberapa syarat lesen ke atas DNB, khususnya yang berkaitan dengan syarat pemilikan pegangan syarikat.

Hal ini demikian kerana struktur syarikat bukan lagi 100 peratus milik kerajaan, sebaliknya saham majoriti bakal dimiliki oleh beberapa syarikat telekomunikasi yang bersetuju.

“Sebagai pemegang saham dan pelabur, sudah tentu mereka wajar dipertimbangkan terma terma yang meyakinkan dan menjamin daya maju syarikat pada masa akan datang,” ujar Annuar.

Mengulas lanjut tentang penawaran perkhidmatan runcit 5G oleh syarikat-syarikat telekomunikasi, setakat ini YTL Communications dengan perkhidmatan YES telah mendahului syarikat-syarikat lain.

Celcom pula melalui program Friendly User Trial sudah mula membuka akses 5G kepada pengguna mereka yang terpilih bagi menguji perkhidmatan 5G dan ini juga suatu perkembangan yang positif.

“Walaupun syarikat-syarikat telekomunikasi lain telah menyatakan sokongan terhadap hasrat Kerajaan, adalah menjadi harapan saya agar sokongan tersebut diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Syarikat-syarikat ini haruslah segera menyusuli langkah yang sama memanfaatkan SWN 5G dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan inovatif kepada rakyat Malaysia,” katanya. – SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button