Nasionalpilihan

Mangsa kedua lemas di Kem Terendak meninggal dunia

Selepas hampir seminggu bertarung nyawa akhirnya seorang lagi remaja yang terbabit dalam insiden lemas di Pantai Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka dekat sini pada 13 Oktober lalu meninggal dunia.

Mangsa, Mohamad Lukhman Aliff Mokhtar, 16, menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, malam tadi.

Dia adalah rakan baik kepada Faris Darwisy Mohd Faizal, 16 yang meninggal dunia dalam kejadian Jumaat lalu ketika cuba menyelamatkan teman sekelasnya itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa anak kepada seorang anggota polis di Balai Polis Banda Hilir telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan lanjut selepas insiden yang berlaku pada 13 Oktober lalu.

“Mangsa mendapat bantuan pernafasan sejak dimasukkan ke Hospital Melaka dan pihak hospital memantau dan memeriksanya secara berkala.

“Dia didapati mengalami ‘brain death akibat kekurangan oksigen dan doktor yang bertugas di Wad ICU Dahlia mengesahkan Mohamad Lukhman Aliff meninggal dunia kira-kira pukul 8.00 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, jenazah akan dibawa ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

Pada 13 Oktober lalu, akhbar melaporkan Faris Darwisy lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya yang hampir lemas di Pantai Mutiara, Kem Terendak, Sungai Udang kira-kira pukul 6.30 petang.

Mangsa tiba di pantai berkenaan bersama 14 pelajar dan dua guru sekolah berkenaan pada pukul 4.30 petang untuk majlis perpisahan guru pelatih. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button