Ikan sudah berbau busuk!
Itulah dakwa mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai dekat sini mendakwa makanan tengahari yang dibekalkan kepada mereka tidak berkualiti.
Mereka mendakwa makanan tenghari yang dibekalkan langsung tidak berkualiti terutama ikan yang sudah hancur dan berbau sejak semalam hingga hari ini.
Seorang mangsa dari Kampung Batu Gajah Pasir, Zariffudin Abdul Hamid, 45, berkata, isterinya mengalami cirit birit selepas memakan nasi berlauk ikan kembong yang dibekalkan semalam.
Menurutnya, pada mulanya dia tidak percaya runggutan isterinya namun apabila membuka makanan yang dibekalkan itu mendapati ikan sudah tidak boleh dimakan hingga menyebabkan dia membuang makanan tersebut.
“Saya terpaksa beli makanan di luar untuk isteri dan dua anak saya. Hari ini pun sama nasi, kuah dan sayur boleh makan tetapi malangnya ikan yang diberikan memang tidak boleh dimakan.
“Kalau benda elok saya tidak macam ini tetapi dua hari makanan yang dibekalkan langsung tidak berkualiti.
“Saya duduk di PPS ini bukan mintak makan yang sedap-sedap tetapi biarlah berkualiti. Kalau saya makan nasi dan sayur pun tak per,” ujarnya ketika ditemui di PPS SK Sungai Rambai di sini hari ini.
Seramai 29 keluarga membabitkan 99 orang kini ditempatkan di SK Sungai Rambai sejak Sabtu lalu.
Seorang lagi mangsa banjir, Jalil Atan, 55, seorang pesawah dari Parit Penghulu Benteng turut melahirkan rasa kecewa dan terkilan kerana makanan yang dibekalkan kepada mereka langsung tidak
berkualiti.
Menurutnya, apa yang mengecewakan ikan yang disajikan berbau busuk dan tidak boleh dimakan langsung.
“Sejak semalam dan hari ini saya, isteri dan dua anak tidak lalu nak menjamah makan yang dibekalkan kerana ikan sudah berbau. Kami hanya jamah nasi dan sayur, saya langsung tak boleh makan,” ujarnya.
Sehubungan itu dia meminta pihak terlibat terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melihat kualiti makanan yang dibekalkan kepada penghuni di PPS ini.
Seorang lagi mangsa banjir Lela Md. Salleh, 62, berkata, dia terkilan makanan yang berikan kepada mereka langsung tidak berkualiti.
“Bila buka bekal nasi, ikan sudah berbau dan langsung tidak boleh dimakan. Ini berlaku sejak semalam dan hari ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia berharap masalah ini diatasi segera agar mangsa banjir di PPS tidak mengalami keracunan makanan. – SM