Nasional

Mana logik pembangkang, tanya PM berhubung saham GIP dalam MAHB

PERDANA Menteri membidas pembangkang berhubung isu saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan Global Infrastructure Partners (GIP).

Bercakap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Anwar berkata beliau tidak faham dakwaan pembangkang bahawa GIP akan mengambil alih lapangan terbang itu.

Katanya, beliau tidak faham apakah logik yang digunakan oleh pembangkang kononnya GIP akan mengambil alih lapangan terbang itu, sambil menyatakan bahawa Khazanah Nasional Berhad dan KWSP masih pemegang saham terbesar MAHB.

“Sebelum proses ini (MAHB dimiliki) 41 peratus KWSP dan Khazanah, dengan peralihan ini 70 peratus pegangan Khazanah dan KWSP.

“Sesetengah pembangkang kata walaupun  30 peratus mereka akan ambil alih, saya pun tak tahu dia kira macam mana,” katanya.

Pada 15 Mei lalu apabila Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) memaklumkan bahawa Abu Dhabi Investment Authority dan GIP, melalui GIP Aurea Pte Ltd, akan membentuk konsortium untuk memperoleh sebahagian saham dalam pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak selepas mendapati Blackrock, sebuah syarikat yang dianggap mempunyai hubungan dengan Israel, sedang membeli GIP. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button