Malaysian Tigress berjaya tewaskan Korea Selatan
PELUANG pasukan hoki wanita negara untuk mengisi kedudukan empat terbaik Kejohanan Hoki Wanita Juara-Juara Asia di India kembali bernyawa selepas menewaskan Korea Selatan 2-1, hari ini.
Namun pasukan bimbangan Nasihin Nubli Ibrahim begitupun terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum kemenangan berjaya dicapai.
Turut terdesak mendapatkan kemenangan, Korea Selatan yang dibimbing Han Jin-su terlebih dulu merobek gawang skuad Malaysian Tigress menerusi jaringan padang Eunbi Cheon pada minit ke-15.
Begitupun, kedudukan itu disamakan Zati Alyani Muhammad Zubir menerusi jaringan padang pada minit ke-36 sebelum gol kemenangan diraih pada minit ke-51 menerusi Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha.
Pasukan negara itu perlu menang menentang Korea Selatan selepas dua kekalahan berturut-turut pada perlawanan lebih awal menentang pasukan ranking lima dunia, India dan China.