MALAYSIA tidak akan terlibat dalam perang dingin antara Amerika Syarikat (AS) dan China sebalik mengambil pendekatan yang tidak memihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam isu ketegangan membabitkan dua negara kuasa besar itu, Malaysia mengambil pendirian yang sangat neutral.
Katanya, tiada negara atau sesiapa sahaja yang perlu menentukan apa yang mesti dilakukan.
“Kami memutuskan apa yang terbaik untuk negara Malaysia,” katanya ketika sesi soal jawab mengenai persaingan yang semakin meningkat antara AS dan China di Persidangan Nikkei Masa Depan Asia ke-29, di Tokyo hari ini.
Mengenai hubungan dengan AS, Anwar berkata negara itu telah menjadi sekutu tradisional kepada Malaysia sejak kemerdekaan pada 1957.
“AS masih rakan dagang dan pelabur terbesar di Malaysia, dan mereka sangat agresif dalam mempromosikan pelaburan.
“Oleh itu, semua pemain besar di AS dialu-alukan untuk melabur di Malaysia,” katanya.
Namun kata Perdana Menteri, Malaysia juga mengiktiraf kekuatan ekonomi dan ketenteraan China dan tidak mempunyai dasar ‘China-phobia’.
Oleh itu katanya, Malaysia berharap AS dan China dapat menyelesaikan perselisihan mereka, dan menghormati sikap daya saing masing-masing.
“Ia bergantung kepada pemimpin dan penggubal dasar mereka untuk membuat keputusan,” ulasnya.
Kata Anwaar, sama seperti AS, China juga adalah negara jiran penting yang terlalu dekat dan strategik yang tidak boleh diabaikan oleh Malaysia. – SM