Malaysia Madani: Sekadar menunggu air pasang?
Oleh: Rozhan Othman
SUDAH menjadi lumrah apabila berlaku perubahan pemimpin akan berlakulah perubahan pada slogan yang dibawanya. Sebelum ini kita telah didedahkan kepada Wawasan 2020, Islam Hadhari, Satu Malaysia dan Keluarga Malaysia. Sekali air pasang, sekali pasir berubah. Adakah PMX tidak berbeza dengan konsep Malaysia Madaninya?
Setiap kali slogan baru diperkenalkan akan naiklah papan-papan iklan yang memaparkan slogan-slogan ini. Kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan akan meletakkan poster di bangunan mereka dan logo slogan ini pada surat-surat rasmi mereka. Akan bermulalah amalan mengucapkan “Salam” yang disusuli dengan slogan berkenaan. Namun, apabila berlaku perubahan kerajaan, slogan yang diwar-warkan sebelum itu akan dilupakan dan tidak dirindui. Papan iklan pun diubah, logo pada surat-surat rasmi kerajan dipinda dan bida`ah baru akan direka pada ucapan salam. Sarkas baru pun bermula. Sekali air pasang, sekali pasir berubah. Banyak dana digunakan tetapi impaknya tidak jelas.
Malaysia Madani dikatakan bertujuan memberi satu kerangka dasar untuk membolehkan masyarakat menanggani isu-isu dan ketidaktentuan yang dihadapi negara. Konsep Madani juga bertujuan memulihkan Malaysia melalui reformasi yang substantif. Namun, reformasi yang substantif tidak akan berlaku jika Malaysia Madani dilihat sebagai konsep yang abstrak dan hanya dibicarakan oleh para cendiakawan dan pemimpin politik. Rakyat biasa masih kabur akan maksud Madani dan kesannya ke atas mereka secara peribadi. Reformasi yang substantif tidak akan terhasil dengan memacak papan iklan serta kain rentang Malaysia Madani. Demikian juga sekadar mencetak logo Malaysia Madani pada surat rasmi tidak akan mencetuskan perubahan seperti yang dihasratkan. Lihatlah saja pada kesan poster larangan menghisap rokok atau papan tanda larangan membuah sampah.
Turut menyukarkan lagi ialah wujudnya berbagai tanggapan mengenai maksud Malaysia Madani. Ada yang beranggapan ia sebagai naratif alternatif kepada konsep ketuanan Melayu. Ia memberikan kerangka baru dalam hubungan kaum di Malaysia. Ada juga yang mentafsirkan Madani berdasarkan warna-warna yang terdapat pada bendera Malaysia. Dan ada yang mengharapkan konsep Madani dapat digunakan sebagai satu strategi dalam menghadapi ancaman-ancaman kepada masyarakat. Dan ada pegawai kerajaan yang mula mencari perunding dan professor untuk membantu mereka memahami tindakan yang harus mereka ambil dalam menterjemahkan konsep Malaysia Madani. Suasana yang wujud ibarat rombongan meminang yang tidak sepakat siapa yang ingin dipinang.
Jika Malaysia Madani ingin dijadikan sebagai suatu yang dapat mencetuskan perubahan, ia perlu disusuli dan disokongan oleh inisiatif penjuruteraan sosial (social engineering) yang bersepadu. Sememangnya Malaysia menghadapi berbagai cabaran. Kita diancam perbalahan akibat daripada politik kebencian dan penunggangan agama. Kita juga diancam perubahan iklim yang muncul dari angkara manusia sendiri. Daya saing negara juga telah merosot berbanding dengan beberapa negara ASEAN lain. Ekonomi kita pula mempunyai jurang pendapatan yang semakin luas.
Usaha menyelesaikan masalah-masalah ini memerlukan pendekatan jangka panjang dan memerlukan perubahan nilai serta gelagat rakyat. Ia memerlukan program-program khusus yang dapat mencetuskan perubahan pada semua peringkat. Sebagai contoh, tidak memadai kita hanya berbicara mengenai kemampanan. Program-program khusus yang mengembelingkan rakyat untuk sama terlibat dalam memelihara alam sekitar dan menjaga kebersihan awam perlu diperkenalkan. Kerajaan-kerajaan tempatan dan kerajaan-kerajaan negeri perlu memberi komitmen kepada pembangunan mampan dan tidak meluluskan pembangunan, pembalakan serta eksploitasi sumber alam tanpa mempeduilkan kesan terhadap alam sekitar.
Di antara contoh program penjuruteraan sosial yang dilaksanakan secara meluas untuk merubah masyarakat ialah program Saemaul Undong yang dilancarkan di Korea Selatan pada tahun 1970han. Tujuan program ini ialah memupuk kerjasama dan daya dikari di kalangan rakyat di peringkat komuniti. Satu struktur organisasi diwujudkan dari peringkat kerajaan pusat hinggalah ke peringkat komuniti untuk menggerakkan program ini. Pemimpin-pemimpin dari semua peringkat dipilih dan dilatih untuk melaksanakan program ini.
Selain daripada memulakan projek-projek di peringkat komuniti, Saemaul Undong juga turut berusaha merubah nilai-nilai masyarakat Korea pada ketika. Ini termasuklah nilai-nilai masyarakat pada ketika itu yang masih banyak berpegang kepada tahyul dan karut-marut serta mengubah sikap terhadap penglibatan wanita dalam ekonomi. Peranan kerajaan tempatan juga diubah daripada berperanan sebagai alat kawalan oleh kerajaan pusat kepada satu wadah untuk mewakili kepentingan rakyat di peringkat bawah.
Demikian juga dengan perubahan yang dilakukan di Jepun ketika era Pemulihan Meiji (1868-1889). Selain daripada perubahan politik, era Pemulihan Meiji turut memberi perhatian kepada merubah nilai-nilai masyarakat Jepun. Jika sebelum itu, masyarakat Jepun merupakan masyarakat pertanian, era ini menyaksikan usaha untuk membangunkan industri di Jepun. Untuk menyediakan rakyat Jepun mendokong perubahan ini, nilai, tabiat serta etika kerja yang lebih serasi dengan pengindustrian dipupuk. Ini termasuklah menekankan tabiat menjaga masa serta kempen penggunaan jam tangan yang sebelum itu tidak merupakan sebahagian dari kebiasaan rakyat Jepun.
Selepas peristiwa 13 Mei pada tahun 1969, kerajaan ketika itu telah melancarkan Rukun Negara sebagai satu inisiatif untuk memulihkan negara dan menyatukan rakyat. Namun, lebih 40 tahun selepas itu kita masih diancam politik kebencian dan perkauman. Di antara sebab usaha menyebarkan idea-idea dan nilai-nilai yang termaktub dalam Rukun Negara terjejas ialah politik perkauman masih berterusan selari dengan usaha ini dan terus menimbulkan kecurigaan sesama rakyat. Tidak salah jika ada yang beranggapan Rukun Negara akhirnya menjadi kempen perhubungan awam sahaja.
Malaysia Madani boleh menjadi penawar kepada masalah yang dihadapi. Namun, tidak memadai dengan Malaysia Madani hanya berperanan sebagai kerangka dasar. Ia perlu diterjemahkan kepada program-program penjuruteraan sosial yang sampai ke semua pelusuk masyarakat.
Kemampanan perlu dipupuk melalui program-program khusus dan bukan sekadar satu saranan. Kemampanan “cara Malaysia” yang disebut dalam Malaysia Madani sudah tentu perlu melibatkan sumbangan idea daripada rakyat. Mekanisma dan saluran yang berkesan harus diwujudkan untuk membolehkan rakyat berperanan dalam menterjemahkan piawai-piawai global untuk mencapai keseimbangan dalam pembangunan di Malaysia.
Kesejahteraan perlu dibina melalui program-program yang merapatkan hubungan sosial di kalangan anggota masyarakat. Konsep keruhanian yang ingin dijadikan sebahagin daripada kesejahteraan pelu mengambilkira nilai dan pegangan yang berbeza dalam masyarakat Malaysia. Fokus program-program ekonomi perlu menganjak daripada memaksimumkan kekayaan kepada mengurangkan jurang pendapatan. Daya cipta hendaklah diransang ditempat kerja dengan menggantikan budaya birokrasi yang jumud dan sikap takut pada risiko. Badan-badan kerajaan mesti mendahului dalam menyokong inovasi tempatan dan bukan cepat menolak ciptaan-ciptaan rakyat sendiri atas alasan ciptaan itu “belum terbukti”. Demikianlah juga dalam memupuk sikap saling menghormati , yakin serta ihsan.
Jika PMX ingin menjadikan Malaysia Madani sebagai suatu yang mampu menghasilkan perubahan yang substantif dan berkekalan, ia mesti disokong satu usaha penjuruteraan sosial yang tersusun. Saperti pelaksanaan Saemaul Undong, ini termasuklah mewujudkan barisan kepimpinan yang mendokong idealisma yang terkandung dalam Malaysia Madani untuk memimpin perubahan ini di semua pelosok serta peringkat masyarakat serta kerajaan. Jika ini tidak dilakukan Malaysian Madani akan menjadi sekadar gimnastik mental di kalangan cerdik pandai tetapi tidak menghasilkan impak dan perubahan yang berkekalan. Akhirnya, bila air pasang akan berubahlah pasir.