Nasional

Malaysia-Kemboja pertingkatkan perdagangan dua hala

PERDAGANGAN dua hala di antara Malaysia dengan Kemboja akan dipertingkatkan selain daripada pelaburan dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melakukan lawaan rasmi sulung ke Kemboja, hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob di sidang media di Kemboja, hari ini.

Beliau berkata, dengan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang terjalin, para ahli perniagaan Malaysia yang berada di negara tersebut akan bergiat lebih aktif lagi dalam perniagaan.

Ismail Sabri turut melahirkan rasa gembira dapat berjumpa dengan Keluarga Malaysia di Kemboja selain merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen atas jemputan dan layanan diberikan kepada delegasi Malaysia.

Ismail Sabri juga berkata, Kemboja mengalu-alukan pembukaan sempadan antarabangsa dan status pembukaan sempadan Malaysia akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Dalam hal ini, saya cadangkan kepada Perdana Menteri Hun Sen agar Malaysia membantu Kemboja untuk membangunkan peranti atau application yang membantu mengurus COVID-19 di peringkat kebangsaan seperti MySejahtera.

“Ini dapat membantu memudahkan rakyat Kemboja untuk tujuan perjalanan antarabangsa kelak,” katanya sambil menambah, cadangan itu dialu-alukan oleh pihak Kemboja.

Katanya lagi, Malaysia turut menawarkan bantuan kepada Kemboja untuk membangunkan aplikasi yang membantu mengurus Covid-19 di peringkat kebangsaan seperti MySejahtera.

Selain itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa Malaysia berhasrat untuk bekerjasama dengan Kemboja dalam bidang-bidang baharu seperti Fintech, keselamatan siber dan ICT.

Justeru kata Ismail Sabri, pelabur Malaysia dan Kemboja adalah digalakkan untuk melaksanakan kolaborasi dalam sektor baharu yang berpotensi seperti Industri Halal dan perniagaan startups yang boleh diperkembangkan.

Tambah beliau, pelabur Malaysia dipelawa terlibat secara langsung dalam industri pemprosesan beras di Kemboja.

“Perbincangan dengan Hun Sen turut menyentuh  isu sumber manusia khususnya membabitkan permintaan untuk pekerja domestik beragama Islam di Malaysia.

“Peluang pekerjaan seumpama ini boleh diisi oleh rakyat Kemboja berbangsa Champa kerana terdapat persamaan dari segi cara kerja dan agama dengan masyarakat Melayu Islam di Malaysia,” jelas Ismail Sabri.

Sebagai tambahan, hal-ehwal membabitkan  masyarakat Islam Champa yang merupakan etnik minoriti di Kemboja turut dibincang dengan Menteri Kanan Tugas-tugas Khas Hal Ehwal Islam Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan, kata Ismail Sabri.

Pelbagai bentuk bantuan telah disampaikan oleh Kerajaan dan masyarakat Malaysia dan ia akan teruskan untuk membantu masyarakat Islam Champa dari segi pendidikan dan pekerjaan, katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button