Malaysia edar 1 juta al-Quran, ganti yang dibakar Paludan
BIAR PUN Rasmus Paludan membakar beberapa al-Quran baru-baru ini, Malaysia membalasnya dengan usaha mahu mencetak dan mengedar sejuta al-Quran ke seluruh dunia.
Lebih-lebih bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Islam tidak menganjurkan untuk menjawab ‘musuh Islam’ dengan sikap biadab dan keganasan.
“Kita (boleh) memilih untuk berikhtiar dengan meningkatkan pemahaman ke atas al Quran. Penegasan rahmah dan kasih sayang di dalam al-Quran mesti disemangati setiap jiwa orang Islam.
“Justeru itu, Malaysia bertekad dalam masa singkat untuk mencetak dan mengedar satu juta naskah al-Quran ke seluruh dunia,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas menghadiri Festival Kesenian al-Quran Sejagat Restu dan membuat lawatan ke Nasyrul Quran, kilang percetakan al Quran kedua terbesar dunia.
Dalam masa sama, Anwar bertegas bahawa Malaysia mengecam tindakan membakar kitab suci al Quran yang dilakukan seorang pemimpin garis kanan Sweden (Paludan) baru-baru ini.
Bagi meredakan Islamofobia, usaha Malaysia turut akan disusuli program-program ke arah penghayatan dan pemahaman al-Quran dengan mesej risalah yang jelas. – SM