Nasionalpilihan

Malaysia-China meterai MoU pertukaran kepakaran sains, teknologi

KERAJAAN Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC) hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pertukaran Kepakaran dalam Sains dan Teknologi sempena lawatan rasmi  Perdana Menteri China. Li Qiang Malaysia.

Pertukaran MoU ini telah dilaksanakan antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Seri Anwar Ibrahim bersama Li.

MoU itu merupakan inisiatif lanjutan daripada Perjanjian dalam Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi yang telah ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan China pada 4 Oktober 2013, yang memberi tumpuan khusus kepada pertukaran kepakaran sains dan teknologi antara kedua-dua negara.

Menurut Lih Kang, perdagangan dan pelaburan telah menjadi asas utama hubungan antara Malaysia dan RRC.

Katanya, sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia, China kekal sebagai rakan dagang penting yang mewakili 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

“Pada tahun 2023, RRC kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun yang kelima belas sejak tahun 2009 dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, langkah ini adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang memberi tumpuan strategik kepada pertumbuhan ekonomi ke arah pembangunan industri yang dipacu inovasi dan melibatkan aktiviti-aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku peneraju STI negara juga telah menetapkan bidang-bidang keutamaan dengan pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (high growth high value – HGHV) terutamanya industri berasaskan teknologi seperti hidrogen, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi dan teknologi angkasa.

Melalui MoU ini MOSTI akan menerajui skop-skop kerjasama yang merangkumi program pertukaran saintis dan penyelidik, kolaborasi antara institusi-institusi penyelidikan serta penganjuran bersama program dan persidangan akademik dengan keterlibatan saintis dan penyelidik antarabangsa.

Menerusi kerjasama dua hala antara Malaysia dan China yang melibatkan peningkatan kapasiti dan kepakaran dalam pelbagai industri STI, ia bakal menyumbang kepada pemerkasaan bakat berpengetahuan dan  berkemahiran tinggi yang mampu memacu pembangunan industri strategik berimpak tinggi dalam negara.

Jalinan kerjasama khusus kepada pertukaran kepakaran dan penyelidikan dalam STI ini dijangka dapat memberi nilai tambah yang bermanfaat kepada kedua-dua negara selain menarik kerjasama penyelidikan yang lebih meluas serta menggalakkan kemajuan saintifik dan pembangunan ekonomi dua hala yang lebih kukuh.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, jalinan kerjasama ini penting untuk mencerminkan komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di samping meningkatkan profil Malaysia dalam komuniti sains dan teknologi antarabangsa dalam mengarusperdanakan agenda STI negara. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button