Politik
Trending

Majlis Presiden PH gesa PM berunding dengan pembangkang

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, digesa mengadakan rundingan dengan pembangkang dalam menentukan sokongan terhadap Belanjawan 2021.

Selain itu, Muhyiddin juga perlu memaklumkan mengenai perancangan Kerajaan Perikatan Nasional dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan yang akan dibentang pada 6 November nanti.

Berdasarkan gesaan tersebut, Pakatan Harapan (PH) dilihat mahu cadangan dariapda mereka dimasukkan dalam Belanjawan tersebut sebelum dibentangkan dalam Dewan Rakyat.

Ini termasuklah pelaksanaan perlanjutan moratorium pinjaman serta fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan dalam menghadapi Covid-19.

Justeru, Perdana Menteri dikatakan perlu akur titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah agar mengadakan rundingan dengan pembangkang.

“Atas sebab-sebab ini Majlis Presiden Pakatan Harapan amat bersetuju dengan Seri Paduka Baginda bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan Pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.

“Maka Perdana Menteri harus menjunjung titah  Seri Paduka Baginda dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang.

“Berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November, supaya ia dapat mencapai objektif objektif yang diingini Tuanku.

“Majlis Presiden yakin bahawa semua Ahli Parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.”

Demikian kenyataan Majlis Presiden PH selepas satu mesyuarat diadakan dekat ibu pejabat PKR di Tropicana, Damansara di Petaling Jaya, Selangor.

Mesyuarat yang berlangsung pada pukul 4 petang tadi dipengerusikan oleh Presiden PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang hadir dalam mesyuarat tersebut adalah, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Salehuddin Ayub.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad juga kelihatan di ibu pejabat PKR bagi menghadiri mesyuarat tersebut.

Sementara, DAP pula diwakili Setiausaha Agung, Lim Guan Eng bersama Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Selain itu, beberapa pemimpin daripada DAP seperti Pengerusinya, Tan Kok Wai; Timbalan Pengerusi, Gobind Singh Deo dan Naib Pengerusi, M. Kulasegaran juga hadir.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan sama turut menzahirkan penghargaan kepada Al Sultan Abdullah kerana menolak pelaksanaan Perintah Darurat.

Majlis itu turut mengatakan menjunjung titah baginda yang menasihatkan semua Ahli Parlimen memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021.

“Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak Covid-19.

“Ia juga perlu menetapkan halatuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik – termasuk dengan mengenalpasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi.

“Serta membantu jutaan rakyat Malaysia yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun 2020 ini.

“Berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini.

“Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button