Rencah Hidup

Majlis perkahwinan ‘drive-thru’ anak Ku Nan

NORMA baharu membentuk kita menjadi lebih kreatif dalam penyelesaian masalah termasuklah menganjurkan majlis perkahwinan ketika penularan pandemik Koronavirus (Covid-19).

Hari ini, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengadakan majlis perkahwinan anak lelakinya, Tengku Muhammed Hafiz.

Uniknya, majlis perkahwinan tersebut dianjurkan secara ‘drive-thru’ dengan menerima kehadiran tetamu secara singgah bagi menyaksikan perkahwinan Tengku Muhammed Hafiz dan Oceane Alagia di Putrajaya.

Sementara tetamu yang berada disepanjang majlis tersebut hanyalah ahli keluarga terdekat pengantin lelaki dan perempuan.

Berdasarkan kepada gambar yang dikongsikan menerusi hantaran media sosial, Facebook Tengku Adnan atau dikenali sebagai Ku Nan, pengunjung cuma perlu memandu terus ke majlis perkahwinan tersebut.

Kemudian, pengunjung pula melambai kepada pengantin dan keluarga sambil mengucap tahniah sebelum diberikan cenderahati sebagai penghargaan kerana menghadiri majlis itu.

“Alhamdulillah acara akad nikah anakanda saya Tengku Muhammed Hafiz dan Oceane Alagia telah berjalan lancar pagi tadi.

“Terima kasih pada warga Putrajaya yang meraikan acara ini dalam norma baharu.

“Majlis dibuat secara ‘Drive Thru’ di boulevard Dataran Putrajaya Presint 3. Ini bersesuaian dengan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan kita mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan sekarang ini.”

Kata Ku Nan menerusi satu hantaran dalam Facebooknya memaklumkan perkahwinan anaknya hari ini.

Menurut beliau, lebih 10,000 kenderaan singgah menyaksikan perkahwinan anaknya.

“Dalam perkiraan, saya dimaklumkan dianggarkan lebih 10,000 kenderaan Drive Thru di sini sejak pagi tadi. Alhamdulillah, saya dan keluarga amat berbesar hati.

“Terima kasih semua kerana memahami dan mematuhi semua prosedur yang dibuat dengan kehadiran secara pandu lalu sahaja tanpa perlu turun dari kenderaan.

“Saya dan keluarga amat bersyukur dan menghargai sokongan anda semua. Terima kasih,” ucapnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button