Majikan di Karnival Jamin Kerja tidak diskriminasi golongan OKU
MAJIKAN di Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 terbuka untuk menerima calon pekerja yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) selagi mereka memenuhi kelayakkan yang ditetapkan.
Menurut Mohamad Faizal Radzi, 32, Audit & Compliance di Galatrack Sdn. Bhd., syarikat Galatrack menerima pemohon daripada golongan OKU asalkan mereka boleh bercakap dan menulis.
“Untuk golongan istimewa, tidak kira jenis kecacatan yang dialami yang penting boleh bercakap dan menulis.
“Ini kerana jawatan yang ditawarkan perlu berurusan dengan pelanggan,” katanya.
Selain itu, Department Manager McDonald’s (Mcd), Siti Murni A. Rahman, 36 berkata, sememangnya Mcd mempunyai pekerja daripada golongan OKU maka mereka terbuka untuk menerima calon pekerja daripada golongan tersebut.
“Mcd sememangnya mengambil pekerja OKU. Kami ada mengambil pekerja OKU yang dikaitkan dengan masalah pembelajaran dan sindrom down.
“Kami akan memberi kerja yang sesuai dengan mereka seperti bahagian service. Oleh itu, mereka mempunyai peluang untuk memohon kerja di Mcd.
“Kami tiada diskriminasi terhadap golongan istimewa ini, yang penting mereka boleh kerja dan memberi komitmen,” katanya.
Sementara itu, Customer Service Chicken Rice Shop, Roslelawati Zakaria berkata, sesetengah cawangan Chicken Rice Shop memang mengambil pekerja daripada golongan OKU.
“Sesetengah cawangan mengambil pekerja daripada sekolah OKU tetapi akan di selia oleh guru- guru mereka. Guru mereka akan melawat mereka seminggu atau dua minggu sekali untuk melihat perkembangan mereka.
“Kami menerima golongan OKU pendengaran, penglihatan, masalah pembelajaran dan fizikal,” katanya.
Tambahnya, dia juga menggalakkan golongan OKU untuk memohon pekerjaan selagi peluang masih ada. -SM