MAIPs sumbang RM35,000 kepada maahad tahfiz terjejas akibat kebakaran
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan RM35,000 kepada Maahad Tahfiz Nurus Saadah Behor Mali yang terjejas akibat ditimpa kebakaran di bangunan asramanya pada September lalu.
Sumbangan MAIPs tersebut diserahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Ustaz Mohd Shafiq Mustafa, wakil pengurusan maahad tahfiz tersebut, sebagai usaha meringankan beban mereka untuk pemulihan asas dan pembangunan semula.
Hadir sama mengiringi Baginda ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan; Timbalan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Dr. Haji Hazman Hassan; Ketua Hakim Syarie Perlis, Haji Jaidi Ahmad; serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap yang DiPertua MAIPs, baginda menasihatkan pihak pengurusan maahad di seluruh megeri ini agar melaksanakan semakan berkala terhadap pepasangan elektrik serta aspek keselamatan bangunan. Baginda menekankan pentingnya langkah proaktif seperti pemeriksaan sistem pendawaian, alat pemutus litar, dan soket bagi mengelakkan risiko kebakaran. Selain itu, baginda turut mencadangkan agar latihan keselamatan kebakaran dilakukan secara berkala untuk memastikan penghuni dan kakitangan maahad bersedia menghadapi sebarang kecemasan.
“Keselamatan bangunan perlu diutamakan bagi memastikan institusi pendidikan seperti maahad tahfiz menjadi tempat yang benar-benar selamat untuk anak-anak kita menuntut ilmu. Jangan tunggu musibah berlaku, sebaliknya bertindak proaktif untuk mencegahnya,” titah Tuanku Raja Muda.
Terdahulu daripada itu Baginda berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 20 orang asnaf terpilih di Masjid Al-Hidayah Kg Titi Beratap sebagai sebahagian daripada program Hijrah Minda anjuran MAIPs. Program ini bertujuan membantu golongan memerlukan dalam komuniti setempat selain menggalakkan solidariti dan sokongan bersama.
Keprihatinan Tuanku Raja Muda terhadap kebajikan rakyat jelas terpancar melalui komitmen baginda dalam memastikan golongan asnaf dan institusi pendidikan seperti maahad tahfiz mendapat perhatian dan bantuan yang sewajarnya. Usaha ini tidak hanya meringankan beban mereka yang memerlukan tetapi juga memperkukuhkan nilai-nilai kesejahteraan dalam masyarakat.