Agama

MAIPs sasar tingkat pengiktirafan lokal dan global

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mensasarkan peningkatan kepada pengiktirafan lokal dan global dalam setiap inisiatif dan aktiviti yang dilaksanakannya.

Pengiktirafan berkenaan adalah penting dalam membawa organisasi itu agar setanding di persada dunia.

Bertitah demikian menurut kenyataan media MAIPs, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang DiPertua MAIPs diiringi Anakanda yang juga Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail di program ‘Sesi Interaksi Wacana Hikmah’ di Masjid Al-Noor, Abuja, Nigeria sempena Safar Ilmi MAIPs ke negara berkenaan baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda disambut beberapa tokoh ilmuan dan sarjana Nigeria antaranya Pengerusi kebangsaan NGO Jama’atu Izalatul Bidi’ah wa Ikamatus Sunnah, Sheikh Abdullahi Bala Lau dan Setiausaha Agungnya Sheikh Muhammad Kabiru Haruna Gombe serta Pengerusi Kesatuan Inisiatif Imam Abuja, Sheikh Tajudeen Bello.

Turut mengiring ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Abuja, TYT Aiyub Omar dan Mufti Perlis, Datuk Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

“Misi antarabangsa yang dilaksanakan MAIPs sebagai contoh adalah bertujuan untuk mempertingkatkan jaringan kolaborasi yang strategik, demi mempertingkatkan lagi perkhidmatan MAIPs kepada golongan sasar, selain turut menfokuskan kepada perkongsian pengalaman dalam pengurusan hal ehwal Islam,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Mengulas kenyataan Tuanku Pemangku Raja, Sheikh Bala Lau berpandangan, usaha MAIPs dalam mempertingkat jaringan dan misi global mengingatkan bahawa umat Islam adalah bersaudara.

“Hal yang menjadikan umat ini bersatu dan bersaudara adalah kerana agama Islam itu sendiri,” tambah beliau.

Dalam hubungan itu, di peringkat lokal, MAIPs telah menjadi Majlis Agama Islam pertama di Malaysia yang mendapat penarafan SAGA (Standard Accounting for Government Agencies) oleh Jabatan Akauntan Negara, Anugerah Sijil Bersih Penyata Kewangan untuk 11 tahun berturut-turut, pernah mendapat Anugerah 5 Bintang Bagi Indeks Akauntabiliti dalam Pengurusan, catatan Malaysian Book Of Records (MBOR) bagi ‘Perjalanan kayuhan terbanyak dalam program CSR’, Majlis Agama Islam Pertama menerima Anugerah Presiden daripada Malaysia Institute of Planners (MIP) dan sebagainya.

Selain itu, MAIPs telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam menjadikannya aktif di persada antarabangsa melalui hubungan strategik bersama Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman Thailand, membantu menubuhkan fizikal Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah di Fatoni University dan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), melaksanakan program misi kemanusiaan kepada pelarian Syria dan Rohingya serta misi bantuan Al-Quds selain bekerjasama dengan Badan Antarabangsa seperti Persatuan Palang Merah Antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sehingga diiktiraf di beberapa jurnal antarabangsa dalam impak program kemanusiaan.

Dalam bidang dakwah antarabangsa, MAIPs turut menubuhkan Majlis Ilmuan Nusantara, menganjurkan program tahunan Konferen Dakwah Serantau serta komited melaksanakan program Perlis International Sunnah Convention (PISC) yang menampilkan pelbagai tokoh dakwah antarabangsa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button