Bantuan MAIPs bernilai RM3.16 juta untuk perkasa institusi masjid
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan sebanyak RM3,162,000 bantuan untuk golongan sasar melalui masjid-masjid seluruh Negeri Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan berkenaan di Galeri DiRaja Arau hari ini.
Sumbangan besar tersebut adalah bertujuan untuk pelaksanaan agihan zakat bagi 2 aktiviti turun padang MAIPs melalui Masjid-masjid seluruh Negeri Perlis iaitu, ‘Program Ziarah Dakwah Bil Hal MAIPs’ dan ‘Program Baikpulih Mikro Rumah Asnaf’.
Program berkenaan merupakan salah satu pendekatan MAIPs untuk memperkasakan institusi masjid dalam menyantuni warga asnaf sekaligus menjadikan masjid sebagai ‘jambatan penghubung’ antara warga asnaf dengan MAIPs.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor, memaklumkan bahawa ‘Program Ziarah Dakwah Bil Hal’ adalah program agihan barangan makanan kepada warga asnaf melalui kaedah ziarah yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh Negeri Perlis.
Selain itu, ‘Peruntukan Baikpulih Mikro Rumah’ merupakan salah satu kaedah MAIPs bagi mempermudahkan agihan bantuan untuk membaikpulih rumah asnaf melalui bancian, pemilihan dan pelaksanaan oleh Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang dilantik dengan mengambil kira aspek teknikal dari tenaga atau kepakaran Ahli Jawatankuasa atau Ahli Kariah berkaitan.
Setiap masjid menerima RM6,000 untuk ‘Program Ziarah Dakwah Bil Hal’ dan RM25,000 untuk ‘Program Baikpulih Mikro Rumah’ daripada MAIPs.
Dalam hubungan ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan setinggi penghargaan dan menitahkan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua para penyumbang zakat melalui MAIPs yang sentiasa bermurah hati dan berjiwa dermawan.
“MAIPs amat menghargai para muzakki, dan berdoa agar mereka, organisasi dan keluarga sentiasa diberkati,” titah baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.
Untuk rekod, setiap tahun MAIPs memperuntukkan sebanyak 102 rumah bantuan baharu, 204 baikpulih rumah asnaf dan 510 baikpulih mikro di bawah harga RM5000 bagi rumah-rumah asnaf seluruh Negeri Perlis.
Sebelum ini MAIPs telah mengagihkan sumbangan sebanyak RM3,880,000 berupa ‘Bantuan Fitrah’ kepada golongan asnaf di seluruh Negeri Perlis pada tahun ini.
Seramai 9,700 penerima bantuan telah dikenalpasti oleh Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh Negeri Perlis melalui penyelarasan amil-amil kariah yang dilantik oleh pihak MAIPs. – SM