fbpx
Nasional

Raja Muda Perlis nasihat barisan hadapan terus cekal

Kekalkan tahap kebersihan dan keselamatan pada tahap paling tinggi

Walaupun terkini kes yang pulih semakin meningkat dan jumlah kes yang aktif pula menurun, menunjukkan bibit-bibit kejayaan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dalam meratakan lengkung jangkitan wabak Covid-19 di negara ini, namun, setiap petugas barisan hadapan dinasihatkan agar tidak sekali-kali mengambil ringan atau cuai dan mereka hendaklah memastikan tahap kebersihan serta keselamatan diri masing-masing dijaga pada tahap yang paling tinggi pada sebilang masa demi untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya jangkitan virus ini selaras dengan slogan tentera bagi Operasi PENAWAR pada kali ini iaitu “Stay Healthy, Protect Yourself“.

Barisan hadapan yang dirujuk ialah mereka-mereka yang amat kita semua hargai pengorbanan yang telah dicurahkan sehingga hari ini termasuklah pihak warga Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan semua pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang tidak dapat disebutkan satu persatu di dalam usaha untuk memerangi virus ini.

Demikian titah saranan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah apabila menyentuh mengenai penglibatan mobilisasi para anggota rejimen berkenaan dalam pelaksanaan ‘Latihan Kerahan Untuk Berkhidmat (LKUB)’ oleh Tentera Darat Malaysia di sepanjang tempoh PKP ini.

Menurut baginda, kewujudan Rejimen Askar Wataniah dalam konteks Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) itu sendiri merupakan satu elemen penting bagi sistem pertahanan negara kita. Sesungguhnya kedaulatan negara adalah tanggungjawab kita semua sebagai rakyatnya secara bersama. Pasukan simpanan ini ialah bagi membantu ganti serta mengimbangi kekuatan anggota tetap demi mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara di masa darurat atau perang.

Seluruh rakyat tidak mengira kaum, agama dan pemahaman politik adalah diseru untuk sama-sama menjadikan Askar Wataniah sebagai platform bagi meningkatkan serta mengenal potensi diri di samping mewujudkan jaringan kerja di antara satu sama lain.


Sementara itu, Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak mengalu-alukan mana-mana jabatan, institusi, sekolah dan juga pihak swasta yang berminat untuk melaksanakan program-program bina semangat atau motivasi untuk menggunakan kemudahan ‘Sirkit Merentas Halangan Syed Sirajuddin Areeb Putra’ yang terdapat di kem rejimen berkenaan di Bukit Keteri, Padang Besar apabila masalah pandemik Covid-19 ini reda kelak.

Mohamad Zaidi turut mengajak anggota masyarakat supaya tampil kehadapan bagi menyertai pasukan sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah dengan menghubungi melalui kaedah Email : [email protected], telefon : 04 9386073 atau Fb : Rejimen Askar Wataniah Perlis. Proses dokumentasi selanjutnya akan dilaksanakan sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir nanti.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan ucapan ‘Selamat Menyambut Hari Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang ke-86’ yang jatuh pada 27 April 2020 baru-baru ini kepada seluruh warganya. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button