Berita

MAIPs komited tingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) agar terus komited dalam mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatannya demi memenuhi aspirasi menjayakan hasrat penubuhannya.

Terang baginda, sebagai sebuah badan induk yang menentukan dasar hal ehwal Islam serta membantu menasihati Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Pemerintah berhubung Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, MAIPs akan sentiasa berusaha keras bagi mempertingkatkan lagi pengurusan zakat, sumber am selain menjadi peneraju tunggal harta wakaf demi kesejahteraan sosio ekonomi ummah di negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berharap agar seluruh rakyat terus menerus memberikan sokongan dan dokongan padu terhadap segala inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan MAIPs.

Jelas baginda lagi, apa yang dirancang MAIPs hanya akan kekal menjadi sebuah perancangan tanpa komitmen dan kesungguhan warganya serta sambutan daripada seluruh masyarakat dalam menjayakan segala hasrat kesejahteraan sosial ummah yang diimpikan termasuklah menunaikan ibadah zakat, wakaf dan sedekah mereka melalui MAIPs.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat meninjau tapak projek pembangunan Kompleks MAIPs yang dijangka siap untuk beroperasi selewat-lewatnya pada pertengahan tahun 2023 di Kangar semalam.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan MAIPs yang juga ‘Accredited Checker’, Dato Ir Wan Abdul Ghaffar Wan Ahmad.

Sementara itu, Mohd Nazim menambah bahawa MAIPs juga sedang merencanakan pelbagai inisiatif dalam memperteguhkan pembangunan amil yang merupakan faktor utama kejayaan pengurusannya.

Bukan sekadar memberikan perhatian pada pembangunan sumber manusia dan pemantapan organisasi, MAIPs turut memberikan perhatian kepada menyedia kemudahan pusat pentadbiran dan ruang perkhidmatan demi manfaat golongan sasar dan pemegang taruhnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button