NasionalNegeri

MAIPs juga berperanan dalam misi pendidikan – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga berperanan bagi menjayakan misi pendidikan selari dengan matlamat Perlis sebagai negeri ilmu.

Baginda juga mengulangi komitmen bahawa MAIPs akan terus prihatin tentang perkembangan dan keperluan pendidikan khasnya sekolah agama rakyat di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM8,000 sempena Program Hijrah Minda Bilangan 2 Bagi Tahun 2023 kepada 20 asnaf terpilih dalam kariah Masjid Shahrani, Behor Lateh, Kangar.

Masing-masing menerima RM400 setiap seorang.

Baginda diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan amil kariah, Mohizan Mohammad.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang DiPertua MAIPs juga berharap agar guru-guru akan terus mencetuskan perubahan dan menjadi golongan yang berimpak tinggi dalam masyarakat.

“Ini adalah kerana sesungguhnya peranan guru sebagai murabbi ummat sangat mustahak bagi melahirkan masyarakat yang berilmu,” titah Baginda.

Di majlis yang sama Raja Muda berkenan menyerahkan replika kunci sebuah rumah baharu sumbangan MAIPs kepada Haslinda Mohamad atas cadangan Jawatankuasa Kariah masjid berkenaan.

Selesai program, Baginda berkenan menyantuni rumah asnaf, Dahaman Mohamad, 84, di Kampung Behor Lateh.

Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang tinggal seorang diri ini menerima sumbangan zakat MAIPs yang disampaikan oleh Baginda. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button