MAIPs beri penekanan pembangunan generasi akan datang
KANGAR 31 Ogos – Majlis agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberikan penekanan kepada pembangunan generasi mendatang yang akan mewarisi negara masa hadapan.
Pelbagai usaha dilaksanakan membangunkan generasi muda Islam untuk meningkatkan kemampuan dan potensi dalam menjadi individu yang berakhlak, beriman, dan bermartabat.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Selain pendidikan asas agama Islam, pengembangan bakat, watak, kemahiran dan minat adalah penting untuk memberikan peluang kepada generasi muda Islam bagi mengembangkan bakat dan minat mereka, sehingga mereka dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang.
MAIPs melalui Jawatankuasa Pembangunan Ummah dan Risalah yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis kini dalam proses membangunkan Dokumen Khas Nilai Jatidiri Masyarakat Perlis untuk diterapkan dan dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat dan golongan sasar.
Ke arah itu, usaha untuk mengadaptasi amalan dan budaya baik daripada pelbagai komuniti sama ada di peringkat global atau lokal turut dilaksanakan bagi menjadikan golongan muda akan dapat menghayati nilai positif dalam kehidupan mereka.
Dalam hubungan itu, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail berkenan berangkat menyampaikan sumbangan Fi Sabilillah MAIPs kepada Central Mosque of Iceland dalam daerah Ármúli di Reykjavik yang diterima oleh Imam Ousamma Idriss Mobarak baru-baru ini.
Masjid di Reykjavik ini dibuka pada tahun 2002 oleh Persatuan Muslim Iceland dan merupakan simbol penting kepelbagaian agama dan toleransi di Iceland.