Nasional

MAIPs agih sumbangan RM 3.8j Bantuan Fitrah

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan sumbangan sebanyak RM3,880,000 berupa ‘Bantuan Fitrah’ kepada golongan asnaf di seluruh Negeri Perlis pada tahun ini.

Seramai 9,700 penerima bantuan telah dikenalpasti oleh Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh Negeri Perlis melalui penyelarasan amil-amil kariah yang dilantik oleh pihak MAIPs.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Zakat Fitrah MAIPs Bagi Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2020 Masehi yang diadakan di Galeri DiRaja Arau pagi tadi.

Di kesempatan itu, baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut bertitah agar sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para asnaf penerima terpilih untuk digunakan sepanjang Ramadan khususnya dalam suasana norma baharu yang sedang dialami oleh semua.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, warga asnaf juga disarankan agar berfikir dan membuat perancangan hala tuju masing-masing sebagai persediaan bagi menghadapi peringkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca penularan wabak COVID-19 nanti bermula dari sekarang lagi.

Tuanku Raja Muda Perlis turut mengalu-alukan semua pihak untuk tampil kehadapan bagi memberikan sumbang saran dan idea ke arah sama-sama membantu warga asnaf selepas lama ‘direhatkan’ di rumah ekoran PKP dan penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menambah bahawa ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia, MAIPs memberikan penekanan ketat kepada langkah-langkah yang digariskan oleh pihak berkuasa bagi meminimakan kontak rapat apabila Ahli-ahli Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh negeri ini turun melaksanakan agihan bantuan zakat fitrah melalui kaedah ziarah kelak.

Tambah beliau lagi, untuk rekod, sepanjang tempoh PKP, MAIPs telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM4.7 juta yang merangkumi 10 inisiatif. Antaranya adalah agihan Kaunter Terhad, agihan Ziarah Dakwah Bil Hal, agihan Bantuan Khas Rangsangan Asnaf COVID-19, agihan melalui kerjasama NGO, Bantuan Khas Kecemasan Masjid MAIPs, Program Perlis Mengaji, Program Tuisyen Atas Talian, Pusat Agihan dan Aktviti Sukarelawan dan sumbangan peralatan & sokongan petugas barisan hadapan.

Dalam perkembangan lain sejurus selepas majlis pengumuman tersebut, pihak MAIPs turut mengadakan lawatan ke rumah-rumah terjejas teruk ekoran angin kencang dan ribut petir yang melanda Perlis pada petang semalam.

Sebanyak 56 buah rumah terlibat dilaporkan setakat ini yang mana pihak MAIPs akan segera membuat penyelarasan bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis bagi menyemak penyaluran bantuan yang perlu diberikan khususnya dalam aspek membaikpulih rumah sebelum tindakan sewajarnya diambil. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button