Mahmoud Abbas tidak sebulu dengan Hamas, dakwa hanya PLO wakil Palestin
Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas mendakwa dasar dan tindakan Hamas ‘tidak mewakili rakyat Palestin’, lapor agensi berita Wafa.
Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) adalah satu-satunya wakil rakyat Palestin yang sah, tambahnya, ketika perbincangan dengan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Venezuela, Maduro dan Mahmoud membincangkan ‘situasi yang mengerikan’ di Semenanjung Gaza berikutan serangan bertubi-tubi oleh Israel.
Maduro menegaskan semula ‘sokongan tanpa syarat’ Venezuela untuk perjuangan Palestin dan PLO serta menawarkan 30 tan bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara itu untuk dihantar dalam beberapa hari akan datang, menurut kenyataan itu.
Selain itu, Maduro memaklumkan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menuntut gencatan senjata segera dan penubuhan koridor bantuan kemanusiaan.
Israel mengisytiharkan perang ke atas Hamas pada Ahad minggu lalu, sehari selepas gelombang pejuang kumpulan itu menembusi sempadan.
Pengeboman tanpa henti menyaksikan kawasan kejiranan terjejas teruk dengan sekurang-kurangnya 2,670 orang terbunuh di Semenanjung Gaza, majoriti orang awam Palestin.
Tentera Israel memberitahu orang ramai di utara Semenanjung Gaza supaya berpindah ke selatan untuk menyelamatkan diri, sebelum serangan darat yang dijangkakan dalam masa terdekat.
Kumpulan bantuan memberi amaran mengenai bencana kemanusiaan di Gaza, dengan kira-kira satu juta orang kehilangan tempat tinggal dan rakyat Palestin mengadu kehabisan sumber air. – AFP