Mahkamah

Mahkamah tolak permohonan injunksi kontraktor projek KVDT2

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan injunksi kontraktor projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) terhadap kerajaan kerana menamatkan kontrak penyelenggaraan landasannya.

Syarikat itu bagaimanapun berjaya dalam permohonan injunksi Erinford sementara menunggu rayuan berhubung keputusan itu diselesaikan di Mahkamah Rayuan.

FMT melaporkan, Hakim Lim Chong Fong membenarkan perintah injunksi Erinford itu untuk mengekalkan status quo. Ia berkuat kuasa sehingga 24 Jun dan akan luput secara automatik melainkan dilanjutkan oleh Mahkamah Rayuan.

Ini susulan keputusan Hakim Chong Fong yang enggan menghalang kerajaan daripada membatalkan kontrak penyelenggaraan landasan kereta api bernilai RM4.475 bilion yang sebelum ini diberikan kepada Dhaya Maju-LTAT.

Pada Oktober 2020 kontraktor Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd memfailkan saman untuk mengisytiharkan penamatan kontrak itu tidak sah, menyalahi undang-undang dan melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Turut dinamakan dalam saman itu ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, firma perunding, Opus Consultants dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Chong Fong pada 30 April lalu mendengar hujahan peguam Dhaya-Maju LTAT, Khoo Guan Huat dan peguam kanan persekutuan, Asliza Ali yang mewakili Ka Siong serta kerajaan, sama ada Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 356) boleh diguna pakai.

Seksyen 29 memperuntukkan bahawa injunksi tidak boleh dikeluarkan terhadap kerajaan dan kakitangan awam kerana menjalankan tugas mereka.

Ketua pegawai eksekutif Dhaya Maju-LTAT, Mohamed Razeek Hussain ketika mengulas keputusan itu mengakui, ia tidak mengejutkan.

“Kami sedar ia bukan mudah, namun tetap percaya hak kami untuk mempertahankan kontrak yang dipersetujui kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, Dhaya Maju-LTAT telah menjalankan kewajipannya dengan baik sejak diberikan kontrak itu dua tahun lalu sementara percubaan kerajaan untuk membatalkannya adalah tidak adil.

“Sebarang tender baharu untuk projek sebesar ini mungkin mengambil masa beberapa tahun sebelum kontraktor baharu dapat memulakan kerja,” katanya.

Katanya lagi, menjadi kepentingan awam untuk projek itu diteruskan susulan itu syarikat masih bersedia berunding untuk membolehkannya dilengkapkan dengan terma yang dapat diterima semua pihak.

“Kami menanti keputusan kerajaan berhubung perkara itu, dan percaya akan memperolehinya tidak lama lagi,” katanya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button