MahkamahNasional

Mahkamah buat keputusan yang betul-Azreen anak Rosmah Mansor

ANAK perempuan Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, Azrene Ahmad bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan hukuman bersalah ke atas bekas wanita pertama negara itu.

Azrene yang juga isteri kepada Chef Selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkata, Mahkamah tinggi membuat keputusan yang betul atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai M1.25 bilion.

Dalam hantaran atau posting di Instagramnya, Azreen berkata, biarlah perkara itu habis sehingga ke Mahkamah Persekutuan jika perlu.

“Kita perlu mempercayai fakta dan keupayaan badan kehakiman kita untuk mencapai penghakimannya tanpa halangan dan tanpa rasa takut,” catat Azreen di IGnya.

Sebagai seorang anak, tulis Azreen, ia sentiasa mudah untuk berfikir hanya secara subjektif.

“Ia sentiasa sukar untuk menjadi objektif dalam pemikiran dan tindakan kita memandangkan keadaan sosio-teologi yang telah kita terima sejak lahir.

“Walaupun banyak ‘white noise’ (kebisingan) subjektif oleh masyarakat kita, budaya dan penerapan agamanya, saya tetap objektif.

“Betul adalah betul, salah adalah salah – terutama apabila ia berkaitan dengan pemimpin (termasuk pasangan) walaupun mereka adalah keluarga,” katanya di Instagram.

Azrene mengakui di IGnya bahawa beliau menerima pelbagai teguran sejak empat tahun lalu iaitu sejak kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan kepentingan negara kerana ia adalah tanggungjawabnya sebagai manusia dan rakyat Malaysia walaupun kapasitinya terhad.

“Sebagai seorang anak, saya hanya boleh terus mendoakan mereka (ibu bapa) dan mengharapkan yang terbaik walaupun saya menjangkakan yang paling teruk,” katanya dan menambah, keputusan mahkamah perlu dihormati.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rosmah, 70, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta dan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button