MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan perbicaraan selama dua hari kes penderaan kanak-kanak dihadapi Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan prosiding pembelaannya yang dijadualkan bermula esok sementara menunggu permohonan Siti Bainun untuk menyemak semula pertuduhan.
“Saya akan memberikan keputusan saya iaitu mengenai semakan pertuduhan dan bantahan pihak pendakwaan terhadap semakan itu pada 13 Januari ini.
“Sementara itu, saya akan memberi penangguhan yang akan menjejaskan pendengaran esok dan Jumaat,” kata Sequerah.
Siti Bainun dibicarakan atas dua pertuduhan melakukan penderaan dan pengabaian terhadap seorang remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada 2021.
Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Siti Bainun mahu menyemak semula pertuduhan terhadapnya dengan alasan ia “cacat”.
Dia mendakwa bahawa keputusan Mahkamah Sesyen untuk memerintahkannya membela diri atas pertuduhan penderaan kanak-kanak adalah terbatal dan tidak sah kerana hakim gagal mempertimbangkan pertuduhan yang “cacat” itu.
Terdahulu, peguam Siti Bainun, PG Cyril berkata, anak guamnya mengambil pendirian tidak tahu apa yang perlu dijawab dalam mengemukakan pembelaannya kerana pertuduhan itu “cacat”.
Cyril menegaskan ia adalah pendirian pihak pembelaan bahawa kedua-dua pertuduhan itu “cacat” dan itulah sebabnya dia mahu Mahkamah Tinggi menyemaknya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun menggunakan laluan yang salah untuk mencabar pertuduhan itu.
Katanya, pihak pembelaan sepatutnya menghantar surat kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta semakan terhadap perintah Mahkamah Sesyen bukannya notis usul. – FMT – SM