Mahkamahpilihan

Mahkamah arahkan Muhamad Akmal bayar RM49,200 kepada abang

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM49,200
kepada abangnya, Dr. Muhamad Solehin Saleh.

Hakim Mohd. Sabri Ismail membuat ketetapan itu susulan saman fitnah yang difailkan Muhamad Solehin pada September 2022 berhubung satu hantaran di Facebook
dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu pada 26 Ogos 2022.

Dalam tuntutannya, Muhamad Solehin berkata, Muhamad Akmal memfitnahnya apabila menggambarkan dirinya sebagai seorang yang berhutang dan mendakwa beliau berniat jahat membuat komen negatif mengenai Muhamad Akmal menggunakan akaun palsu.

Mohd. Sabri membuat ketetapan itu selepas mendapati Muhamad Solehin berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhamad Akmal berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Mahkamah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Melaka itu membayar sebanyak RM30,000 sebagai ganti rugi am, RM10,000 ganti rugi teruk dan RM5,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Muhamad Solehin.

Muhamad Akmal turut diarahkan membayar kos mahkamah sebanyak RM4,200 kepada abangnya itu.

Dalam prosiding itu, Muhamad Akmal diwakili peguam Fadhil Yusof manakala peguam Ahmad Azri Abdullah mewakili Muhamad Solehin.

Sementara itu, Ahmad Azri ketika dihubungi berkata, anak guamnya memfailkan saman fitnah pada September 2022 dan prosiding perbicaraan berjalan selama dua hari pada September tahun ini.

Katanya, mahkamah telah membuat keputusan dan memihak kepada anak guamnya.

Sementara itu Muhamad Solehin enggan mengulas lanjut mengenai keputusan Mahkamah Sesyen hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal enggan mengulas lanjut kerana saman tersebut hanya melibatkan urusan keluarga. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button