Politik

Mahathir yang perlu mohon maaf kepada ahli Pas, bukan Zahid

SUARAMERDEKA: Episod paling hitam hubungan Pas dan UMNO apabila orang Pas mengkafirkan orang UMNO. Di masjid berlaku solat imam UMNO dan imam Pas. Kenduri-kendera orang Pas tidak akan dihadiri oleh orang UMNO. Bapa tidak mengaku anak kerana perbezaan fahaman politik. Suami menceraikan isteri kerana masalah yang sama.

Semua itu berlaku sepanjang era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang ke-4 selama 22 tahun. Pendekatan keras yang digunakan Mahathir dalam menyerang parti itu menyebabkan orang Melayu Islam berpecah belah dan saling benci membenci.

Mahathir menggunakan semua media yang dikawal kerajaan untuk menyebar fahaman kebencian terhadap Pas dan para pemimpinnya. Setiap kata yang keluar dari mulut pemimpin Pas akan diputar belit. Ketika itu soal halal haram sudah dipedulikan kerana yang penting untuk mengekang sokongan orang Melayu kepada Pas.

Mahathir menggunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan Islam bagi menarik minat golongan yang lebih berminat dengan agama. Orang yang sering menjadi sasaran ketika itu ialah Allahyarham Nik Aziz Nik Mat iaitu Mursyidul Am Pas dan Presiden Pas, Hadi Awang.

Pendekatan keras itu mulai hilang apabila Mahathir meletakkan jawatan dan diambil alih oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan diteruskan bahkan lebih akrab bila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri. Datuk Seri Zahid Hamidi yang merupakan anak didik Anwar tentulah tidak mempunyai masalah untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan Pas.

Jadi apabila beliau tampil mendepani usaha itu melalui himpunan penyatuan ummah bersama-sama Hadi ia adalah sangat bertepatan.

Jadi bila Zahid berkata sudah tiba masanya untuk UMNO dan Pas bangun semula dan ketepikan segala perbedaan dan permasalahan yang ada ia adalah sangat bertepatan dengan masanya.

Muafakat ini akan memberi manfaat yang sangat besar kepada umat Islam dan negara ini keseluruhannya kerana hanya dengan pentadbiran sederhana yang diamalkan oleh jurus fahaman para pemimpinnya dapat memastikan negara ini terus harmoni.

Orang Melayu kini sangat terluka sehingga ramai yang menitiskan air mata apabila perhimpunan berkenaan diadakan di PWTC tempoh hari. Apatah lagi orang Pas yang selama ini hanya melihat dari jauh sahaja bangunan PWTC akhirnya menjejakkan kaki ke situ dan membaca deklarasi yang dimeterai dengan air mata.

Suatu ketika dalam satu wawancara Hadi pernah membayang untuk membina jambatan penyatuan Pas dan UMNO. Bagaimanapun cakap beliau ketika itu kelihat seperti hanya angan-angan kosong kerana memang sukar dilakukan ketika suhu hubungan kedua-dua buah parti begitu panas dek angkara pemimpin kedua-dua parti yang lebih gemarkan konfrantasi daripada bermediasi.

Bagaimanapun ketika usaha menyatupadukan umat Islam di negara ini terdapat golongan Melayu liberal dan bukan Melayu yang cuba mengagalkannya kerana menganggap ia satu tindakan terkebelakang dan ekstrem yang membahayakan negara ini.

Pandangan jumud itu dilontarkan dalam siri kongres dan seminar sebagaimana yang berlangsung di ibu negara Jumaat lalu, Whiter Maruah Malaysia. Jadi adalah menjadi tanggung jawab para pemimpin Pas dan UMNO untuk menangkis pandangan negatif itu. Apabila dikaitkan dengan Islam dan Melayu dengan cepat mereka labelkan sebagai ekstrem dan rasis.

Bahkan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang mewakili salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak memahami dan menghayati muafakat itu sedangkan parti itu hanya akan dapat bangkit jika mereka menyokong gagasan tersebut.

Oleh itu orang bukan Melayu tidak seharusnya dibiarkan terus dimomok dengan fahaman salah termasuk bumiputera yang berada di kepulauan Borneo iaitu di Sabah dan Sarawak. Ini adalah kerana negara ini tidak akan dapat dibentuk dengan baik jika semua komponen tadi tidak dijalinkan dengan baik.

Oleh itu pemimpin Pas dan UMNO perlu mencari naratif yang boleh diterima oleh semua kaum di negara ini dan tidaklah mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang mengancam keselamatan serta kestabilan negara. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button