Politik

Mahathir, Mukhriz menang tanpa bertanding ketua bahagian Bersatu

ALOR SETAR, 26 Jan — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengekal jawatannya sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Langkawi selepas diumumkan menang tanpa bertanding jawatan itu.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Kedah Datuk A. Aziz Mahamod berkata sesi pencalonan untuk pemilihan parti, hari ini menyaksikan tiada individu lain yang mengemukakan borang untuk mencabar Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu.

A.Aziz juga mengumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Jerlun apabila turut tidak dicabar.

“Kita ada 15 bahagian di Kedah dan daripada jumlah itu lima bahagian tidak dicabar (untuk jawatan ketua bahagian) iaitu Langkawi, Jerlun, Alor Setar, Pendang dan Kulim manakala bahagian lain wujud saingan yang membabitkan pertembungan dua hingga lima calon.

“Enam bahagian mencatatkan saingan satu lawan satu dan paling menarik ialah di Kubang Pasu menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah dicabar oleh bekas Setiausaha Bersatu Kubang Pasu, Mohd Nasir Jamaludin bagi jawatan Ketua Bahagian Kubang Pasu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pemilihan bagi jawatan Ketua Bahagian Bersatu Merbok pula mencatatkan jumlah calon teramai apabila penyandangnya, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid bakal dicabar empat calon lain.

Sementara itu, A. Aziz berkata pihaknya berpuas hati dengan proses penamaan calon hari ini yang berlangsung dalam keadaan tenang dan lancar bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang tadi.

“Proses hari ini berjalan dalam keadaan aman dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku dan saya harap kelancaran ini dapat diteruskan pada proses berkempen nanti yang dijangka memakan masa dua minggu,” katanya.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button