Macam mana boleh lena, orang tak ada air – Ebit Lew
Ebit Lew beli air 4 lori tangki untuk penduduk di Selangor
SEKALI lagi pendakwah bebas Ebit Lew membeli air bersih untuk diagihkan kepada penduduk Selangor yang keputusan bekalan air.
Jika beberapa minggu lalu dia menghantar dua lori tangki air kali ini dia menghantar empat lori tangki air kepada penduduk di beberapa buah flat di sekitar Lembah Kelang.
Sejak pagi semalam hingga ke malam dia menguruskan penghantaran air yang diminta oleh penduduk terbabit.
“Malam ni terus order lori bawa air dan agihkan pada penduduk flat sekitar Subang malam ni. Ada beberapa tempat lagi mesej saya.
“Dari siang uruskan. Walau dah malam ramai datang nak air. Tua muda pelbagai bangsa. Bawa baldi. Kami bagikan juga dalam 4 tank kecil supaya boleh bagi lebih dekat dengan blok.
Ebit yang juga ahli perniagaan simpati dengan rakyat sekali lagi diuji dengan ketiadaan bekalan air.
Katanya, bagaimana seseorang boleh tidur lena sedangkan orang lain memerlukan air.
“Sayu rasa hati bila Selangor diuji lagi tiada air.
“Doakan yer. Nak hantar air ke beberapa tempat lagi malam ni mengikut permintaan. Macam mana kita nak lena jika ada orang memerlukan air. Besar nilai dan nikmat air ini,” kata Ebit.
Gangguan bekalan air kali ke-9 tahun ini di Selangor belaku dua hari lalu.
Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada pukul 12.45 tengahari, 10 November.
Pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau panjang pada tahap 8 TON dan LRA SSP1,2 dan 3 pula pada tahap 4 TON.
Semalam, seramai empat individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pencemaran yang dikesan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua individu itu ditahan secara berasingan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya.
Fadzil berkata, pihaknya percaya terdapat aktiviti membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki itu, menyebabkannya terus mengalir ke kawasan tercemar.-SM