M. Daud Kilau masuk hospital selepas mengadu sesak nafas
PENYANYI veteran, Datuk M. Daud Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau dimasukkan ke Hospital Teluk Intan selepas mengadu sesak nafas petang semalam.
Menurut anaknya, Ahmad Zaini, bapanya sebelum itu mengadu sesak nafas pada kelmarin dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk.
“Selepas mendapat rawatan, ayah mengadu yang dia masih sesak nafas sejak pagi semalam sebelum dibawa semula ke klinik.
“Ayah kemudian telah dihantar ke hospital dengan menaiki ambulan dan dirawat di unit kecemasan sebelum dipindahkan ke wad kira-kira pukul 3.15 petang.
“Keadaan ayah agak lemah namun stabil dan boleh bercakap,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Dalam pada itu, Ahmad Zaini juga megharapkan orang ramai supaya mendoakan kesihatan ayahnya yang berdepan masalah kesihatan sejak empat tahun lepas.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah kesihatan kerana menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil. -SM