Lokman ucap tahniah Pemuda UMNO kembali jadi benteng pertahan Presiden
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang telah bersoladiriti atas arahan Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk mempertahankan Presiden UMNO.
“Sikap ini sangat terpuji dan saya merasa bangga diatas perubahan sikap mereka yang sangat drastik.
“Saya masih ingat ketika mereka mengambil pendekatan menyerang Presiden secara berjemaah sebaik sahaja Presiden UMNO dipilih oleh akar umbi, saya terpaksa mempertahankan Presiden secara berseorangan dan menjadi mangsa pelbagai kecaman dan makian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Namun apa yang lebih mengembirakan beliau, kata Lokman, tindakan Presiden UMNO menularkan sendiri video seorang ahli Pemuda Cawangan di Kota Raja yang menghentamnya, telah mendapat perkembangan positif hari ini.
“Hari ini, bukan sahaja Pemuda-Pemuda UMNO negeri rancak mendesak agar saya dipecat kerana buat sidang media menggunakan media sosial, desakan Pemuda-Pemuda ini juga turut ditularkan MKT PPBM Sdr Akram Sanusi.
“Kalau saya lapor Lembaga Disiplin atas tindakan Hishammuddin Tun Hussein yang khianat pada parti dan membantu musuh kita Mahathir, Presiden arah supaya Lembaga Disiplin hentikan siasatan.
“Bila saya lahirkan kekecewaan saya terhadap tindakan Presiden yang melanggar Perlembagaan Parti yang secara jelas memperuntukkan kuasa kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk menyiasat sesiapa sahaja secara bebas tanpa diganggu, saya dianggap salah kerana melahirkan kekecewaan saya itu dimedia sosial.
“Saya nak tanya satu sahaja, semasa Pemuda desak Presiden Letak Jawatan, Sidang Media tu tidak menggunakan media sosial ke? Kenyataan Ketua-ketua Pemuda yang desak supaya saya dipecat hari ini bukan guna media sosial juga ke? Kenapa kalian boleh, tetapi saya tidak?” kata Lokman.
Lokman turut mengingatkan bahawa hidup ini tempat tumpangan sementara, akhirat jua kekal selamanya.
“Sama ada saya dipecat atau tidak, selagi saya hidup, saya akan pastikan usaha Mahathir menguasai semula parti keramat ini gagal.
“Biar saya dikecam hebat kerana tidak bersetuju dengan satu dua pihak yang mahu menyelamatkan tengkok dari kezaliman Mahathir, asal saya tak dilaknat Allah kerana menyokong diktator yang zalim itu,” katanya.
Apa yang Presiden harus ingat, kata Lokman, jika pelapor perbuatan Hishammuddin Tun Hussein dipecat, tetapi yang khianati parti dibebaskan tanpa bicara, tiada bezanya dengan tindakan Tommy Thomas yang mahu memenjarakannya kerana membuat laporan polis ke atas Amhari, sedangkan manusia yang terima USD 200,000 dari Jhow Low dan RM3.7 juta dalam akaunnya di BSI Swiss dibebaskan.
Lokman sebelum ini menuduh dan melaporkan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana Hishammuddin dituduh sebagai pengkhianat kerana cuba membawa ahli-ahli parlimen UMNO menyertai Parti Bersatu dan membentuk kerajaan mengikut pintu belakang.
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tan Sri Apandi Ali meletakkan jawatan semalam kerana kecewa arahan supaya menggugurkan kes berkenaan yang dikatakan dikeluarkan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Lokman pula telah menyokong tindakan Apandi yang menyatakan beliau meletakkan jawatan kerana tidak mahu dijadi kuda tunggangan orang politik.