Nasional

Logo mirip Kalimah Allah di tapak kasut: Vern’s beri keterangan kepada Jakim

Syarikat Vern’s Holding Sdn Bhd hari ini tampil memberi keterangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu logo kasut keluarannya yang didakwa mirip kalimah Allah, tertera pada tapak kasut berkenaan.
Memetik laporan BERNAMA, Pengasasnya Datuk Seri Ng Chuan Hoo atau dikenali sebagai Ah Foo, 51, hadir memberi keterangan hampir sejam kepada pegawai Jakim di sini, bermula pukul 11 pagi tadi.
Beliau yang ditemui media selepas memberi keterangan berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh berhubung siasatan Jakim serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai isu itu.
Beliau seterusnya memohon maaf dan bertekad menjadikan isu sebagai satu iktibar supaya ia tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya minta maaf (dalam) isu ini, saya belajar daripada salah faham ini dan akan lebih sensitif dan lebih berhati-hati pada masa hadapan. Masa depan berniaga kena berhati-hati dan hormat,” katanya sambil berulang kali menunduk memohon maaf.
Ah Foo berkata ketika isu berkenaan tercetus, beliau telah mengarahkan supaya kasut berkenaan terus disimpan dan tidak dijual di mana-mana kedai.
“Saya terus beri arahan, terus simpan dan tidak bagi jual lagi… langkah pertama kena hormat,” katanya.
Sebelum ini tular satu video berdurasi tiga minit menerusi media sosial yang memaparkan seorang lelaki mendakwa kasut Vern’s yang dibelinya memaparkan logo yang seakan-akan kalimah Allah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button