Sukan

Liverpool bakal berdepan cabaran getir pertahan gelaran

LIGA Perdana Inggeris akan membuka tirai pertandingan bagi musim 2020/21 pada Sabtu ini, dengan juara bertahan, Liverpool bakal menjadi sasaran utama pesaing mereka untuk merampas gelaran tersebut.

Percutian yang pendek untuk para pemain ekoran pandemik coronavirus yang melanda dunia, menjadikan musim baru kali ini bakal berlangsung dalam suasana sedikit menekan, lebih-lebih lagi tanpa kehadiran penonton di stadium yang jelas bakal menjejaskan pendapatan kelab.

Mampukah juara bertahan, Liverpool mempertahankan gelaran yang disandang mereka tanpa membawa masuk nama besar pada jendela perpindahan kali ini?

Adakah Manchester City masih menjadi pencabar terdekat Reds ataupun Chelsea mampu berbuat demikian selepas mereka berbelanja besar membawa masuk pemain-pemain prolifik yang mampu menghadirkan cabaran buat Blues?

Bagi kelab pertengahan seperti Wolves ataupun Leicester City, mampukah mereka memecah dominasi kelab-kelab utama Liga Perdana yang lebih berkemampuan dari segi kewangan untuk membawa masuk bintang ternama dunia ke kelab mereka?

Bagaimanapun pula dengan Tottenham Hotspur dan Arsenal, mampukah mereka kembali ke dalam kelompok empat terbaik, musim lalu, selepas gagal berbuat demikian pada musim lalu.

Semua persoalan itu bakal terjawab sebaik tirai pertandingan dibuka semula, hujung minggu ini. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, skuad bimbingan Jurgen Klopp sering menjadi sorotan lensa media apabila ramai pengkritik sukan yang menggesa Liverpool membawa masuk pemain berstatus bintang seperti Thiago Alcantara dari Bayern Munich.

Mereka berpandangan tanpa pembelian itu, kedudukan Liverpool sebagai juara bertahan bakal terjejas dan kelab Anfield tersebut akan berdepan kesulitan untuk bersaing dengan pencabar-pencabar terdekat seperti City, Chelsea dan juga Manchester United.

Bagaimanapun, Klopp nampaknya masih bertegas dengan pendiriannya yang pada hematnya meningkatkan kualiti pemain sedia ada adalah jauh lebih penting daripada melakukan perbelanjaan besar.

Mengambil contoh Chelsea, bagi warga Jerman itu, skuad bimbingan Frank Lampard tersebut memerlukan masa untuk mewujudkan persefahaman pemain di atas padang sebelum mampu menghadirkan cabaran sebenar.

Kelab London itu telah membeli Kai Havertz, Timo Werner, Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan juga Thiago Silva bagi mengukuhkan jentera serangan dan benteng pertahanan mereka.

Klopp yakin dengan kualiti yang dimiliki pemain sedia ada, selain formula yang dibangunkan bersama pasukan kejurulatihan ketika sesi latihan bagi mencari strategi terbaik mempertahan gelaran Liga Perdana yang mereka julang pada musim lepas.

Menjelang musim baru, Liverpool cuma membawa masuk Kostas Tsimikas yang bertujuan sebagai pemain sokongan buat bek kiri, Andy Robertson.

Jika Liverpool sekali lagi berjaya mempertahankan gelaran, mungkin pengkritik tegar akan berkata mereka sememangnya patut berbuat demikian, selepas menjuarai liga dengan kelebihan 18 mata, musim lalu, dan Reds juga perlu memastikan para pemainnya sentiasa berada pada prestasi terbaik.

Bagi City pula, selepas mereka dikaitkan dengan percubaan membawa masuk Lionel Messi ke Liga Perdana, fokus utama skuad bimbingan Pep Guardiola ialah mengukuhkan benteng pertahanan.

Untuk tujuan itu, City membeli Nathan Ake menerusi pembelian berharga 40 juta pound (RM216 juta) dari Bournemouth. City sememangnya perlu mengukuhkan kembali benteng mereka setelah gagal mempertahankan gelaran liga.

City juga membawa masuk pemain sayap Valencia, Ferran Torres dan aksi mengagumkan bersama skuad kebangsaan Sepanyol telah menarik minat kelab-kelab Eropah.

Pemain berusia 20 tahun itu mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan Leroy Sane yang menyertai Bayern Munich.

Bagi pasukan sebandar City, Manchester United telahpun membeli pemain muda Donny van de Beek dari Ajax untuk digandingkan dengan Paul Pogba dan Bruno Fernandes.

Selain itu, skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu juga masih mengikuti rapat perkembangan Jadon Sancho yang enggan dilepaskan Borussia Dortmund. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button