Liridon bakal sertai kesebelasan negara
PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi hanya selangkah untuk menyarung jersi Harimau Malaya berstatus pemain naturalisasi selepas disahkan menjadi warganegara Malaysia hari ini.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, dengan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari lalu kini hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“FAM akan menghantar segera dokumen terbaru berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.
“Kami berharap dengan kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya akan dapat memperkasakan lagi pasukan.
“Pada masa sama FAM juga ingin sekali lagi berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta para pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang telah banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian ini,” katanya yang dipetik dari laman Facebook Football Association of Malaysia (Official) sebentar tadi.