Nasional

Limpahan air hitam nyaris sebabkan LRA Semenyih henti tugas

LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih nyaris terjejas sekali lagi ekoran limpahan air hitam yang bercampur sisa besi dari kolam berikutan aktiviti sebuah premis peleburan di Jalan Sungai Lalang di Semenyih.

Limpahan itu telah menyebabkan berlaku pencemaran di longkang monsun di kawasan berhampiran.

Namun tindakan pantas Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya memastikan limpahan air tercemar itu tidak menjejaskan bekalan air bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, LUAS menerima laporan kejadian longkang tercemar di Taman Semenyih Permata, Semenyik pada pukul, jam 3.30 petang Khamis lalu.

Menurutnya, pihak berkenaan bertindak pantas menangani kejadian, sekali gus tiada henti tugas loji rawatan air (LRA) dan tidak berlaku gangguan bekalan air.

“Siasatan di premis berkeluasan 1.2 hektar itu mendapati ada kesan aktiviti peleburan menghasilkan sisa atau serbuk karbon berwarna hitam dan dibuang ke dalam dua kolam berhampiran.

“Keadaan itu menjadikan kolam berwarna hitam dan hujan lebat menyebabkan air hitam melimpah mengakibatkan berlaku pencemaran longkang berhampiran.

“Malah, ia berpotensi mencemarkan Sungai Semenyih yang terletak 2.3 kilometer serta 22 kilometer dari muka sauk Jenderam Hilir,” katanya.

Katanya, LUAS telah menguji conoth bahan tercemar dan kualiti air bagi parameter jumlah pepejal terampai (TSS) minyak dan gris (O&G) dan saringan logam untuk tujuan analisis oleh Jabatan Kimia Malaysia.

“Pada masa sama, pemantauan rapi diteruskan di hilir lokasi pencemaran serta mengeluarkan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122(1) Enakmen Luas 1999 terhadap premis berkenaan.

“Setakat ini, kami belum mengetahui kandungan bahan di dalam tanah serta air di lokasi berkenaan kerana menunggu laporan Jabatan Kimia Malaysia,” katanya.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button