Politik

Lima ADUN PH di Melaka duduk di blok kerajaan

SELARAS dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN), Kerajaan Negeri Melaka mengikut langkah yang sama apabila lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) bertukar ke posisi blok kerajaan.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mencapai kata sepakat untuk mengangkat semangat Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Ini bermakna lima ADUN PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dahulunya berada dalam blok pembangkang bersama dua lagi ADUN Perikatan Nasional (PN), kini bertukar posisi ke blok kerajaan.

Menurut Adly, keputusan yang dicapai itu adalah selaras dengan perkembangan politik semasa di peringkat Persekutuan.

“Perbincangan bersama BN Melaka juga telah memberi ruang kepada lima ADUN PH untuk duduk di
blok kerajaan dalam Sidang DUN yang bermula semalam.

“Sudah ada perubahan kedudukan susunan ADUN dalam dewan serta pelantikan Ketua Pembangkang yang baharu. Secara tidak langsung semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan turut dibawa di Melaka.

“Kerajaan ini (Melaka) adalah Kerajaan Perpaduan. Dalam tempoh yang singkat banyak penarikan yang kita buat tetapi saya yakin bahawa hasrat untuk memastikan kerajaan stabil dan melaksanakan pelbagai program yang berkaitan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Selain Adly yang juga ADUN Bukit Katil, empat lagi wakil rakyat PH ialah ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen; ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong; ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.

Mengulas lanjut, Adly berkata, kerjasama yang baharu dibentuk itu diharap dapat diterjemahkan dengan semangat yang lebih baik pada masa depan.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, kerajaan negeri yang stabil berjaya dibentuk di Melaka kerana kini terdapat 26 daripada 28 ADUN di blok kerajaan.

Blok pembangkang sekarang hanya diwakili dua wakil rakyat PN iaitu ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button