Liga 1 & 2 Thai: Pemain profesional Thai positif Covid-19
SEORANG pemain bola sepak profesional diuji positif Covid-19 sehari sebelum Liga 1 Thai memulakan semula perlawanananya hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Kementerian Kesihatan Awam, Dr. Opas Karnkawingpong berkata, pemain tengah kelab bola sepak Buriram berusia 29 tahun dari Uzbekistan itu tiba di Thailand pada 13 Ogos lalu telah melengkapkan kuarantin wajib 14 hari.
Beliau berkata, pemain tersebut diuji positif pada ujian pramusim sebelum perlawanan dimulakan semula esok.
“Sejumlah 1,115 orang termasuk pengadil, pemain dan mereka yang terlibat dengan Liga 1 dan 2 Thai. Seorang pemain (Uzbekistan) diuji positif manakala yang lainnya negatif,” katanya pada sidang media hari ini.
Pihak berkuasa kesihatan mengenal pasti 43 individu termasuk kakitangan dan anggota pasukan Kelab Buriram sebagai kontak rapat dan akan menjalani kuarantin 14 hari.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit, Dr. Sophon Lamsirithavorn berkata, pihak berkuasa kesihatan akan meneruskan pengesanan kontak rapat pesakit tersebut.
Berikutan kes terbaru ini, tiga perlawanan Liga 1 dan Liga 2 Thai akan ditunda dan penundaan itu bergantung kepada ujian selanjutnya.
Dalam masa yang sama, Ketua Pusat Kecemerlangan Klinikal Virus Universiti Chulalongkorn, Dr. Yong Puworawan berkata, tempoh inkubasi bagi lelaki tersebut mungkin lebih daripada 14 hari.
“Tidak mungkin dia dijangkiti di sini. Saya percaya dia dijangkiti di luar negara, (sebelum) tiba (di) Thailand,” katanya. – SM