Liberal & Wahabi Janji Takkan Meresap Masuk Dunia Pentadbiran Kerajaan & Politik?
Tidak ramai orang Melayu Islam di Malaysia tahu wujudnya Agenda 2030 daripada puak-puak liberal dan wahabi yang disusun penuh seni tanpa ada yang terguris hati.
Misalnya puak-puak ini ditampilkan sebagai ikon dan apa yang pernah dikaji dan tercatat suatu ketika dahulu kini semakin lama semakin terbukti jelas.
Kalau mengaitkan hal-hal yang sedang terjadi di Malaysia ketika ini, usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam liberal sedang berjalan atas landasannya.
Apakah itu Islam liberal yang digembar-gemburkan ini? Berikut adalah soal jawab yang disusun oleh Komunikasi Korporat MAIS
(1) Apakah yang dikatakan dengan Islam Liberal?
Liberal merupakan sesuatu yang bebas dan terbuka. Secara mudah untuk memahami konsep ini, aliran ini bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang dikatakan demokratik. Manakala aliran Islam Liberal merujuk kepada aliran yang memiliki ciri keterbukaan dan kebebasan yang lebih daripada apa yang ada dalam syariat Islam yang asli lagi tulen. Dalam konteks kini aliran ini merupakan serangan pemikiran dan kebudayaan di mana bentuk-bentuk serangan yang secara tidak langsung dilakukan bagi meruntuhkan pegangan agama masyarakat Islam serta boleh memberi kesan kepada keruntuhan Islam.
(2) Apakah yang diperjuangkan oleh Islam Liberal ini?
Di Malaysia, golongan Islam Liberal ini telah mula memperjuangkan pelbagai isu bertujuan menyebarkan idea liberalisme secara lebih meluas. Antara agenda golongan ini ialah memperjuangkan fahaman pluralisme agama dengan menyamatarafkan semua agama, agar kedudukan agama Islam sebagai agama yang paling benar dapat dihapuskan. Secara tidak langsung kedudukan agama Islam di Malaysia dapat direndahkan sehingga boleh mengundang kepada gejala murtad. Perkara ini selari dengan salah satu tuntutan IFCatau Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Commission) supaya membenarkan orang Islam untuk murtad tanpa dikenakan apa-apa halangan dan tindakan.
Selain itu, golongan Islam Liberal juga berusaha untuk menghapuskan kedaulatan agama Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama bagi Persekutuan, atau Islam sebagai agama negara, sengaja ditafsirkan dengan Islam sekadar agama rasmi sahaja. Tujuan mereka menyatakan demikian adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Sekular berpaksikan demokrasi liberal yang tidak terikat dengan agama Islam. Dengan sebab inilah mereka turut menentang pemerkasaan terhadap Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Syariah. Mereka juga berhasrat untuk menghapuskan Institusi-institusi Agama Islam di Malaysia.
(3) Bagaimana cara atau usaha yang boleh dilakukan dalam mendepani atau mengelakkan diri dari terjebak kepada ketaksuban aliran Islam Liberal ini?
Pelbagai pendekatan, usaha dan strategik dakwah boleh dilakukan oleh agensi-agensi agama serta pendakwah masa kini dalam menangani serta menangkis ancaman aliran pemikiran tersebut sama ada di peringkat kawasan penempatan sehinggalah ke peringkat nasional. Bagi pihak masyarakat, mereka perlu mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam daripada guru-guru agama yang mempunyai tauliah dan berautoriti. Dengan itu, dapatlah menjadi benteng daripada terpedaya dengan corak pemikiran Islam Liberal tersebut. Masyarakat juga perlu memainkan peranan yang efektif, sikap akauntibiliti pada agama dan ambil tahu bukan sekadar untuk diri sendiri malah saling mengingatkan antara satu sama lain tentang bahayanya gerakan ini dan betapa pentingnya untuk kembali dan memahami ajaran Islam yang sebenar dalam kehidupan seharian.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 208 bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamuke dalam agama Islam secara keseluruhan (dengan mematuhi segala hukum hakamnya) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
Kredit: Komunikasi Korporat MAIS