Berita

Lelaki yang disyaki samun OKU dan pandu Myvi rempuh kenderaan adalah anggota JPJ

 

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi merempuh beberapa kenderaan selepas dikejar sekumpulan penunggang motosikal kerana disyaki menyamun orang kelainan upaya (OKU) di Jalan Changkat di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang, suspek berusia 25 tahun yang juga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan, merempuh lima kenderaan sepanjang Jalan Pudu di sini untuk melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata berdasarkan keterangan saksi, lelaki terbabit dikatakan menolak lelaki OKU keluar daripada keretanya.

“Saksi yang melihat kejadian itu bertindak mengejar suspek serta meminta suspek memberhentikan kenderaan namun suspek terus melarikan diri dan melanggar beberapa kenderaan sebelum dia ditahan oleh orang awam di Jalan Brunei Utara pada 5.20 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiada individu yang cedera dalam kejadian itu dan lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Dua rakaman video berdurasi 1 minit 29 saat dan 23 saat yang memaparkan suspek memandu Perodua Myvi merempuh beberapa kenderaan tular di laman sosial sejak semalam.

— BERNAMA

https://www.facebook.com/eatsleeptouge/videos/595042734662187/?t=2

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button