Jenayah

Lelaki mengamuk berjaya diberkas polis

Seorang isteri cedera dan lebam di bahagian mata akibat ditumbuk suaminya sebelum mengamuk sambil memegang dua pisau pemotong daging dalam kejadian berlaku di Kampung Bukit Tempayan, Tangga Batu dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, selepas mencederakan isterinya, suspek berusia 37 tahun dipercayai sakit mental telah melarikan diri ke atas bumbung rumah sewanya.

Menurutnya, tiga anggota dari Balai Polis Tanjong Kling yang tiba di tempat kejadian cuba memujuk suspek untuk turun dan memintanya untuk mencampakkan pisau ke bawah.

“Suspek hanya membuang salah satu pisau pemotong daging bersaiz kecil manakala pisau yang berwarna kuning masih dipegangnya.

“Usaha memujuk suspek terus dibuat namun dia masih enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif bukan setakat memaki hamun anggota polis tetapi juga membaling rerabung atap ke bawah.

“Melihat keadaan bumbung adalah sukar untuk polis bertindak menangkap suspek hingga terpaksa meminta bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan Cheng,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, usaha memujuk lelaki itu terus menemui jalan buntu walaupun dibantu oleh seorang pegawai dan 11 anggota bomba.

Menurutnya lagi, pelbagai usaha dilakukan termasuk meminta tiga anak suspek berusia antara 10 hingga 13 tahun memujuk bapanya agar turun tetapi langsung tidak dipedulikan lelaki itu sebaliknya terus berdiri dan bercakap merapu-rapu.

“Setelah pelbagai usaha gagal, dua anggota polis naik ke bumbung cuba menangkap suspek hingga berlaku pergelutan sebelum lelaki itu berjaya ditangkap dan dibawa turun dari atas bumbung tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dan serta merawat kecederaan yang dialami di bahagian kening mata dan beberapa bahagian badan sewaktu berlaku pergelutan tersebut.

Katanya, dua anggoota polis juga turut mengalami kecederaan ringan.

Hasil siasatan awal katanya, suspek merupakan pesakit mental dan telah beberapa kali menjalani rawatan Psikiatrik di Hospital Melaka dan telah lama tidak makan ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button