JenayahNasionalNegeri

Cubaan seludup ganja, syabu bernilai RM150,000 dalam tong minyak gagal

SANGKA penyeludup, tektik menyumbat 10 kilogram ganja mampat dan dua kilogram bungkusan syabu di dalam sebuah tong minyak akan gagal dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun tidak semudah itu pasukan Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dapat dikelirukan.

Sebaik perahu kayu enjin bergalah tanpa nombor pendaftaran ditahan pada jarak lebih kurang 0.18 batu nautika dari barat Pulau Ketam, Perlis sekitar pukul lebih kurang 4.30 pagi, 15 Oktober, pemeriksaan telah dijalankan dengan teliti.

Berikutan itu kata Pengarah Maritim Kedah/Perlis Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Romli Mustafa, ia membawa kepada penemuan ganja dan syabu bernilai RM150,000 yang telah disumbat dalam sebuah tong minyak berwarna biru.

“Secara logik bagaimana hendak sumbatkan ganja dan syabu ini menerusi mulut tong minyak sekecil itu,” katanya pada sidang media di pejabat ZMKP di Kuala Perlis, petang ini.

Beliau berkata, rupanya bahagian bawah tong telah dipotong untuk dimasukkan bahan terlarang sebelum ditutup semula tanpa menampakkan sebarang kesan.

Bagaimanapun katanya, suspek gagal ditahan kerana melarikan diri ke arah hutan paya bakau di Pulau Ketam, Kuala Perlis semasa perahunya dipintas bot ZMKP.

Romli berkata, sebelum itu risikan dan intipan dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis, Unit Risik Zon Maritim Kuala Kedah (ZMKH), Bahagian Perisikan Ibu Pejabat (MIND) dan Unit Detektif Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM) ke atas aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini beberapa minggu lepas.

“Aset-aset ZMKP telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk melakukan serbuan ke atas bot-bot yang disyaki menyeludup dadah,” katanya.

Katanya, semua hasil rampasan dibawa ke ZMKP serta diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Ini adalah kes rampasan dadah kelima bagi tahun 2022 Zon Maritim Kuala Perlis,” katanya.

Beliau menambah, siasatan bagi kes ini juga meliputi siasatan ke atas dalang utama sindiket yang dipercayai terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing yang berada di negeri Kedah dan Perlis. – SM

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button