Kemalangan

Lelaki maut dua motosikal bertembung

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Tasek Utama 43 Ayer Keroh, Melaka di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa, Md Hazrin Yusuf, 47, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Tasek Utama sedang menghala ke Jalan UTeM.

Menurutnya, sebuah motosikal Honda RS-X datang dari arah bertentangan ditunggang seorang jurutera berusia 41 tahun.

“Dipercayai penunggang motosikal Honda RS-X hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan serta merempuh motosikal yang ditunggang Md. Hazrin.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala jurutera berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan menerima rawatan di zon kuning Hospital Melaka,” ujarnya.

Christopher berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik
Hospital Melaka.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan memandangkan lokasi kemalangan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, saksi bebas diminta tampil bagi membantu siasatan dan pihak polis juga sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam).

Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button