Jenayah

Lelaki maut dihempap kotak kaca seberat 5.6 tan

 

JASIN 9 Februari – Seorang lelaki maut selepas dihempap kotak kaca seberat 5.6 tan sewaktu sedang melakukan kerja di dalam sebuah kontena di sebuah kilang di Lipat Kajang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, mangsa yang maut di tempat kejadian
dikenali sebagai Muhammad Umar Mohd. Shahid, 23, yang masih bujang beralamat di No. 413, Jalan Mega 16, Taman Mega Ria, Tangkak, Johor.

Menurutnya, dalam kejadian berlaku pukul 7.10 pagi, mangsa ketika itu sedang menjalankan kerja mengikat kotak kaca dalam sebuah kontena di kilang tersebut.

Katanya, dipercayai mangsa terlanggar kayu penahan cermin menyebabkan kotak tersebut terus menghempapnya dan meninggal di tempat kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan parah, patah tengkuk dan dua belah kaki selain mengalami beberapa kecederaan pada tubuh terkena serpihan kaca.

“Mangsa ketika itu bekerja shift malam dan akan tamat kerja kira-kira pada pukul 8 pagi sebelum kejadian menimpanya,” ujarnya di sini hari ini.

Menurut Mispani, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk tujuan bedah siasat dan pengecaman mayat telah dibuat oleh bapa simati.

Jelasnya, siasatan mengenai kejadian tersebut sedang dijalankan oleh polis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button