Lelaki lari berbogel selepas kelar leher isteri, anak
SEORANG lelaki yang disyaki mengelar isteri dan anaknya hingga maut menunggang motosikal dalam keadaan berbogel dalam kejadian di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru.
Suspek yang disyaki membunuh isteri dan bayinya berusia dua bulan telah ditahan polis ketika menunggang motosikal dalam keadaan bogel.
Memetik BHonline, lelaki itu ditahan di kawasan Permas Jaya, selepas gambar dan videonya menunggang motosikal dalam keadaan bogel tular di media sosial sejak tengah hari.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, dipetik sebagai berkata, telah menerima laporan berhubung kematian isteri dan anak suspek pada pukul 12.42 tengah hari.
“Kejadian dipercayai pada jam 12.30 tengah hari dan kita bertindak atas maklumat sebelum berjaya membuat tangkapan ke atas suspek.
“Pada pukul 2.45 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) menahan suspek di kawasan Permas Jaya,” katanya.
Menurut Raub, polis merampas sebilah pisau pemotong daging dan sebuah motosikal merah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, suspek berusia 25 tahun akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut kes berkenaan.
Sementara itu, bapa mangsa berusia 58 tahun, tidak menyangka hubungan baik anak dan menantunya sejak berkahwin tahun lalu, berakhir dengan tragedi menyayat hati.
Beliau trauma selepas melihat anak perempuan berusia 26 tahun dan cucu lelaki berumur dua bulan berlumuran darah dan tidak bernyawa dipercayai dikelar di leher oleh menantunya sendiri.
“Sejak berkahwin, pasangan itu hidup bahagia. Anak saya dan menantu memang anak yang baik. Mereka tiada masalah.
“Saya tidak pernah dengar mereka bergaduh. Cuma akhir-akhir ini, saya tahu menantu saya tiada pekerjaan tetap selepas berhenti kerja beberapa bulan lalu. Mungkin dia ada masalah tempat kerja.
“Dulu dia ada buat kerja pembersihan di stadium, lepas itu dia berhenti kerja. Kemudian saya dapat tahu dia hanya kerja sambilan mencuci kapal di Pasir Gudang dan bantu kerja-kerja penyediaan makanan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, seperti dipetik dari BHOnline.
Beliau menerima panggilan telefon daripada anak sulungnya yang memaklumkan terdapat masalah di rumah mangsa yang juga anak ketiganya, sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.
“Bila saya sampai, anak sulung dan dan kedua sudah ada di sini (rumah mangsa), saya lihat anak perempuan saya dan cucu lelaki saya terbaring depan pintu rumah dan dengan luka di leher macam dikelar,” katanya.
Ibu manga berusia 50 tahun pula berkata, mereka sekeluarga reda dengan apa yang sudah berlaku kerana menganggap menantunya juga anak yang baik.
“Anak saya kalau ada masalah banyak cerita dengan adik-beradik dia sahaja, tetapi tidak ada pula dia mengadu ada masalah kewangan,” katanya.
Jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini,