SEORANG lelaki hari ini tampil mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur dan mendakwa telah diserang secara fizikal dan seksual oleh seorang pemimpin politik berprofil tinggi.
Lelaki berusia 26 tahun itu mendakwa kejadian itu berlaku pada 16 Mei 2019 dan beliau telah membuat laporan polis serta melampirkan laporan perubatan kecederaan yang dialaminya.
“Malangnya dan mengecewakan, pihak berkuasa gagal mengambil tindakan terhadap perkara yang disebutkan di atas.
“Oleh kerana kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu, saya telah mengemukakan tuntutan sivil terhadap penyerang saya,” katanya dalam sidang akhbar itu.
Beliau menegaskan tindakan itu diambil bukan bermotifkan kewangan, tetapi demi menuntut keadilan.
Serangan seksual itu, katanya, dilakukan ketika dia bertugas dengan pemimpin politik berkenaan.
“Dalam akuan berkanun saya, saya telah perinci kejadian yang berlaku,” katanya.
“Saya adalah mangsa jenayah yang serius, yang telah dilakukan oleh saya oleh para pegawai dan ahli politik.
“Saya tanpa sokongan atau bantuan untuk menolak perkara itu. Saya juga telah jumpa beberapa pemimpin politik untuk membantu, tetapi semuanya mendiamkan diri,” jelasnya.