Nasional

Lebih mudah jadi pembangkang, tak kena maki selalu – Dr. Dzulkefly

MENJADI pembangkang lebih mudah kerana tidak menjadi sasaran kemarahan masyarakat.

Pendapat itu disuarakan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad secara jujur ketika membalas ciapan seorang pengguna Twitter dengan akaun @bumilangit yang mahu beliau dilantik semula menjadi Menteri Kesihatan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, bagaimanapun demi rakyat dan negara serta untuk mencari reda Allah dia sanggup harungi semua kesukaran tersebut semula.

Namun Dr. Dzulkefly menegaskan, dia hanya akan kembali menjawat jawatan menteri kesihatan sekiranya Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan semula dan sekiranya perdana menteri ke-9 melantik dirinya ke jawatan tersebut.

“Terima kasih @bumilangit. Saya kembali kalau PH jadi Kerajaan. Itu pun kalau Perdana Menteri ke-9 sudi lantik saya Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

“Sejujurnya lebih mudah menjadi pembangkang. Taklah kena ‘maki’ selalu. Namun demi rakyat dan negara buat mencari reda AlLah, akan kami harungi semuanya. Hidup ini singkat, lakukan yang terbaik,” ciap Dr. Dzulkefly.

@bumilangit memberikan pandangan bahawa Dr. Dzulkefly yang merupakan Pengarah Strategi Amanah mempunyai aura sebagai menteri kesihatan.

Antaranya polisi tidak merokok yang dilaksanakan ketika beliau menjawat jawatan menteri kesihatan.

“Pendapat saya (walaupun tak ditanya): Mansuh darurat, teruskan PKP. Jadikan Dr. Dzul menteri kesihatan kembali.

“Dia power, orang maki pasal takboleh rokok kat kedai dia buat taktau ja sebab dia tau dia betul. Orang pun tau dia betul,” kata @bumilangit.

Selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan, Dr. Dzulkefly dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Negeri Selangor bagi memantau, mengawasi serta memberikan pendidikan kepada rakyat berkenaan pengawalan serta menangani virus COVID-19. Dia dilantik ke jawatan tersebut pada 10 Mac 2020.

Ketika ini Selangor menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes Covid-19 iaitu keseluruhan 54,384 kes berbanding negeri-negeri lain. Selangor mencatatkan kes harian tertinggi hari ini iaitu sebanyak 1,421 kes.

Kes Covid-19 mula dikesan pada 25 Januari ketika Dr. Dzulkefly masih menjadi Menteri Kesihatan. Pada waktu itu jumlah jangkitan masih lagi rendah dan terkawal.

Gelombang kedua jangkitan Covid-19 melanda negara ketika politik negara bergolak pada penghujung Februari 2020 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button