Lebih baik pergi ke Pasar Borong Selayang’ , buat perbicaraan – Hakim
HAKIM Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semalam, untuk membenarkan lebih ramai pasukan pembelaannya berada di dalam bilik bicara ketika prosiding.
Beliau berbuat demikian ketika mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu mengehadkan jumlah anggota barisan pendakwaan dan pembelaan di bilik bicara, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan pandemik COVID-19.
Beliau turut menolak permohonan Ketua Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram hari ini, yang memberitahu memerlukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib untuk duduk di sebelahnya ketika prosiding, bagi membantunya mengemukakan eksibit semasa pemeriksaan terhadap saksi.
Sri Ram juga berkata, ketua pendaftar memaklumkan bahawa hakim dapat menggunakan budi bicara dalam perkara tersebut.
Hakim Sequerah bagaimanapun menolak kedua-dua permohonan itu dengan mengatakan bahawa mahkamah harus mematuhi SOP untuk mencegah penularan COVID-19.
“Dalam kes ini, saya enggan menggunakan budi bicara saya. Saya akan tetap berpegang pada arahan sekarang. Mohon menulis surat kepada Hakim Besar Malaya,” kata Hakim Sequerah.
Muhammad Shafee kemudian memberitahu bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan akan menulis surat secara bersama kepada Hakim Besar Malaya hari ini, untuk memohon lebih ramai peguam dibenarkan berada di dalam bilik bicara kerana ketika ini hanya tiga orang dibenarkan, masing-masing bagi pihak pembelaan dan pendakwaan.
Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu hakim bahawa beliau mungkin perlu menarik dirinya daripada mewakili Najib kerana sukar untuk menjalankan fungsinya ekoran kekangan sekatan tersebut.
Beliau juga berkata bahawa beliau sukar menjalankan tugasnya sebagai peguam dan sukar untuk bercakap dengan Najib.
“Saya tidak dapat berfungsi seperti ini. Saya belum bercakap dengan anak guam saya. Saya mungkin perlu menarik diri,” kata peguam itu.
Muhammad Shafee juga membuat aduan mengenai pas yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk memasuki bilik bicara yang kemudian dijawab oleh Hakim Sequerah : “Jika begitu lebih baik pergi ke Pasar Borong Selayang dan membuat perbicaraan di sana tanpa sekatan,”.
Hakim itu turut menzahirkan kebimbangannya jika mahkamah tidak mematuhi SOP.
“Jika begitu, tidak ada gunanya, lebih baik membiarkan sesiapa pun masuk,” katanya.
Perbicaraan kemudian diteruskan dengan mendengar keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk memperoleh gratifikasi berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama. – BERNAMA