Politik

Lebih baik Anwar bantu rakyat – Presiden STAR

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan terus membantu penduduk kawasannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.

Dia juga diminta untuk menyumbang tenaga dan usaha untuk membantu kerajaan dan rakyat memerangi musuh yang tidak boleh dilihat iaitu wabak Covid-19.

Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu turut dicadangkan untuk bersama-sama membantu memulihkan ekonomi ketika rakyat dan banyak perniagaan terkesan akibat jangkitan Covid-19.

Nasihat tersebut diberikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan kepada Anwar yang kini bersungguh-sungguh untuk menjadi perdana menteri.

Jeffrey berkata, tindakan Anwar yang mahu menarik sokongan Ahli Parlimen hanya akan merosakkan kredibiliti dirinya sendiri.

“Dalam usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik Ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan berharap dilantik sebagai perdana menteri.

“Beliau harus ingat bahawa dari kacamata rakyat didalam senario kini, beliau hanya merosakkan kredibilitinya sendiri dan dilihat sebagai seorang yang gila kuasa ingin merebut jawatan perdana menteri tanpa mempedulikan akibatnya kepada rakyat jelata,” kata Jeffrey.

Beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengan tindakan Anwar yang dianggap terdesak untuk mengambil alih kerajaan daripada Perikatan Nasional.

Sementara itu, Jeffrey melahirkan sokongan penuh kerajaan pusat di bawah Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Secara peribadi, saya menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin untuk terus memimpin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Tidak timbul langsung soalan untuk menukar pendirian dan sokongan kepada sesiapa pun yang berangan-angan ingin mengganti Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri,” kata Jeffery.

Anwar dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara esok.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, berkata beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk mengambil alih kerajaan daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Pada 23 September, Anwar mengadakan sidang media untuk mengatakan bahawa dia mempunyai “majoriti kuat, hebat dan meyakinkan” di Parlimen untuk membentuk pemerintahan baru.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button