Nasional

Covid-19: Protokol semua sama, bekalan bagi rawatan ditambah

KENYATAAN seorang yang mendakwa sebagai pakar di Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung situasi di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Sabah dinafikan.

Malah, protokol rawatan Koronavirus (Covid-19) yang diterima oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor juga sama seperti pesakit lain.

Selain itu, KKM juga sedang berusaha menambah segala keperluan termasuk jumlah katil, alat bantuan pernafasan dan kakitangan bagi hospital di Sabah.

“Doktor juga agak arif dengan selok-belok di HQE, namun mungkin perlu menyemak kembali protokol pengendalian Individu Dalam Siasatan (patient under investigation, PUI) yang disahkan Covid-19 ke hospital Covid-19.

“Kes yang sememangnya telah disahkan status jangkitan sebagai positif dan didapati stabil akan dimasukkan terus ke wad Covid-19.

“Protokol sama digunakan untuk semua kes, tanpa mengira status kes dalam masyarakat.

“Kemungkinan ada situasi di mana kes perlu menunggu katil dikosongkan di wad Covid-19. Ini mungkin berlaku dari semasa ke semasa.

“Sememangnya jumlah kes Covid-19 semakin meningkat, terutama di Sabah.

“Setiap hari saya sendiri bentangkan data kes harian setiap hari di pelbagai platform termasuk dalam mesyuarat harian bersama perdana menteri dan juga sidang media sekitar pukul enam petang.”

Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan yang diterbitkan portal Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas surat terbuka kepada Perdan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditulis oleh penulis menggunakan nama Dr. Tachdijan.

Tambah Noor Hisham, pihaknya kini sedang giat memastikan kakitangan KKM berada di lapangan di Sabah selain menambah keperluan rawatan di hospital di sana.

“Saya juga telah menerangkan tindakan-tindakan yang dilakukan kerajaan bagi memastikan terdapatnya kapasiti ujian di makmal-makmal, peningkatan jumlah katil bagi kes-kes Covid-19 agar mencukupi, pembelian peralatan dan pengagihan alat bantuan pernafasan dan sebagainya.

“Pada awalnya petugas di Kota Kinabalu digerakkan untuk membantu hospital di daerah timur Sabah serta pusat-pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah.

“Kemudian KKM gerakkan pula petugas kesihatan daripada seluruh negara ke Sabah.

“Mereka turut ditempatkan di hospital-hospital di Kota Kinabalu bagi menggantikan lompong keperluan petugas di sana,” jelasnya,

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap Dr. Tachdijan yang mendedahkan maklumat peribadi pesakit sedang dirawat.

Menurutnya, tindakan tersebut didapati melanggari etika memandangkan doktor terbabit mengaku sebagai seorang pakar daripada KKM.

“Saya terfikir juga, apabila dikatakan doktor adalah seorang pakar di Kementerian Kesihatan (KKM), secara terus ia lebih menarik perhatian semua pihak untuk membacanya.

“Seorang doktor pakar di KKM pastinya beretika dan mempunyai kredibiliti. Itu yang saya harapkan daripada pakar KKM.

“Saya harus akui, saya merasa kesal. Dalam warkah tersebut, jelas doktor telah mendedahkan identiti seorang pesakit kepada umum dengan merujuk kepada individu ternama di Sabah yang dimasukkan ke HQE.

“Untuk makluman doktor, ini menyalahi tata etika seorang doktor perubatan.

“Kerahsiaan pesakit adalah keutamaan dalam kerjaya perubatan dan KKM sentiasa menekankan perkara ini.

“Saya harap ini bukanlah satu kebiasaan yang doktor amalkan kerana KKM sememangnya bergantung kepada Pegawai Perubatan Pakar untuk mendidik Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Siswazah,” tegasnya. – SM

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button