Sukan

Lebih 200 Pemain Golf Amatur Berentap di JGE2024

GELANG PATAH – Lebih 200 pemain golf tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam kejohanan kelayakan Pro-Am di Kelab Golf Senibong, menjelang perasmian Ekspo Golf Johor 2024 (JGE2024), yang akan berlangsung bulan hadapan.
Lima belas pemenang daripada pusingan kelayakan ini bakal berpeluang bermain golf bersama pemain golf profesional dalam perlawanan akhir yang dijadualkan pada 19-20 Oktober.
Pemain golf profesional terbaik akan bersaing untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM40,000.00 manakala pemain amatur pula akan merebut hadiah bernilai RM14,000.00
Kejohanan Pro-Am menampilkan format unik di mana pemain golf) profesional dan amatur bermain bersama dalam pusingan yang sama, biasanya sebelum acara golf profesional utama.
Kejohanan ini menjadi antara tumpuan JGE2024, yang bertujuan mempertingkatkan aksesibiliti golf kepada orang ramai di Johor dan menyatukan pihak berkepentingan bagi mempromosikan negeri ini sebagai destinasi golf terkemuka.
Selain daripada Pro-Am, ekspo ini juga akan mengadakan pelbagai aktiviti dan acara menarik seperti MGA Junior Open dan Siri Pro-Am Kelab Wanita.
Dianjurkan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) melalui anak syarikatnya, KPRJ Sports Sdn Bhd, dengan kerjasama Champions Golf, JGE2024 turut akan menganjurkan Family Fairway Fun Festival pada 13 Oktober, sebelum acara utama selama tiga hari bermula pada 18 Oktober.
Pengunjung boleh menantikan pelbagai aktiviti menarik, termasuk footgolf, Fairway Fun Zone, trak makanan, pencarian harta karun, dan banyak lagi.
Selain itu, JGE2024 juga menampilkan pameran dan seminar dengan lebih 70 pempamer dari pasaran tempatan dan antarabangsa, mempamerkan peluang perniagaan dan inovasi terkini dalam industri golf.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button